Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani.
Hajar Umira Md Zaki


Ipoh: Bank Rakyat bakal menjalankan pelbagai aktiviti serta menawarkan ganjaran menarik kepada pelanggan setia bersempena sambutan Ramadan dan Syawal yang berkonsepkan 'Rindunya Ramadan' dan 'Rindu Nak Raya' pada tahun ini.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM150,000 serta bakal bekerjasama dengan pelbagai pihak sepanjang berlangsungnya kempen terbabit bermula 15 Mac hingga 30 Jun 2022.

"Bagi 'Rindunya Ramadan', pelbagai aktiviti Jangkauan Komuniti bakal dilaksanakan seperti program pengimarahan bulan Ramadan di saluran media seperti tazkirah Ramadan, aktiviti gotong-royong serta berbuka puasa di masjid dan surau.

"Selain aktiviti Jangkauan Komuniti, Bank Rakyat juga akan menyumbang 'Kit Kebajikan Jelajah Ramadan' kepada golongan asnaf dan B40 terpilih di seluruh negara serta senaskhah al-Quran kepada masjid dan surau.

"Sementara itu, bagi kempen sempena Aidilfitri iaitu 'Rindu Nak Raya', pelanggan setia kami bakal menikmati pelbagai hadiah serta tawaran istimewa.

"Antaranya, pemegang Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat yang membuat 200 transaksi terawal dalam talian sepanjang tempoh kempen bermula 15 Mac hingga 31 Mei 2022 bagi pembayaran perkhidmatan pengangkutan akan mendapat pulangan tunai sebanyak RM100," katanya.

Beliau berkata demikian ketika perjalanan dari KL Sentral ke Ipoh bagi menghadiri sesi bersama media di Hotel Impiana Ipoh dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Bank Rakyat turut menawarkan baucar KTMB selama setahun bernilai RM1,000 kepada 10 pelajar yang membeli tiket perjalanan menggunakan Kad Debit-i atau Kad Kredit-i Bank Rakyat bermula 1 April hingga 31 Mei 2022.

Selain itu, pemegang Kad Kredit-i yang membuat transaksi minimum RM50 bagi pembelian petrol dan transaksi minimum RM100 bagi pembelian barangan runcit dari 30 April 2022 sehingga 4 Mei 2022 juga berpeluang mendapatkan pulangan tunai 10 peratus.

Dalam pada itu, menerusi kempen 'Rindu Nak Raya' juga, Bank Rakyat bakal membawakan hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM106,500 kepada 200 pemenang bertuah yang melanggan produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pembiayaan Perumahan-i bermula 3 April hingga 30 Jun 2022.

Beliau berkata, pelanggan yang melakukan transaksi duit raya terbanyak menggunakan iRakyat dari 1 Mei hingga 31 Mei 2022 juga berpeluang memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM29,000.

"Sehubungan dengan itu, konsep ini amat bersesuaian dengan situasi Covid-19 yang melanda negara ketika ini dan diharap dapat memberi manfaat di samping berkongsi kegembiraan bersama pelanggan termasuk masyarakat secara menyeluruh menerusi inisiatif yang dirancang sepanjang Ramadan dan Syawal.

"Bank Rakyat juga akan terus menyemarakkan sambutan Syawal pada tahun ini menerusi sebuah lagi iklan komersial Aidilfitri selepas 'Raya Tetap Raya' arahan Allahyarham Mamat Khalid dinobatkan dalam 10 tempat teratas bagi iklan komersial Aidilfitri oleh Marketing Magazine pada tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 12:56 PM