FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak RM248.3 juta kepada RM3.86 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM3.62 bilion tahun lalu.

TNB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, lonjakan keuntungan bersih pada tahun kewangan itu disebabkan oleh keuntungan operasi yang lebih tinggi.

Pendapatan kumpulan meningkat 19.7 peratus atau RM8.65 bilion kepada RM52.63 bilion.

"Pendapatan tinggi TNB disumbangkan oleh nilai jualan elektrik yang melonjak sebanyak 19.3 peratus kepada RM51.6 bilion berbanding RM43.2 bilion tahun lalu serta pelarasan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

"ICPT berada dalam kedudukan kurang pulih berbanding tahun lalu, terutama disebabkan oleh harga bahan api yang lebih tinggi.

"Bagaimanapun, pandemik Covid-19 yang berpanjangan menjejaskan tingkah laku pembayaran pelanggan kerana hutang tertunggak yang lebih lama menjadi lebih mencabar untuk dipulihkan," katanya.

TNB berkata, tahun kewangan 2021 memberikan prestasi berdaya tahan yang disokong terutama oleh pertumbuhan permintaan elektrik sebanyak 1.2 peratus.

Katanya, 2021 menjadi tahun mencabar kepada kumpulan kerana berhadapan dengan cabaran mengutip bayaran hutang elektrik dan kenaikan global dalam harga arang batu.

Katanya, ekonomi dijangka kekal pada laluan pemulihan disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan global dan domestik.

"Bagi 2022, kesan faktor berkaitan Covid-19 dan inflasi masih boleh memberi kesan kepada trajektori pertumbuhan.

"Dengan pelaksanaan Tempoh Kawal Selia (RP3) baharu bermula 1 Februari 2022, kumpulan menjangkakan prestasi yang positif untuk 2022.

"Pada masa sama, TNB masih kekal berhati-hati dengan harga bahan api yang tinggi dan prospek ekonomi yang mencabar.

"Kumpulan akan terus mengambil langkah berhemat dari segi operasi dan kewangan untuk memastikan kekal berdaya tahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 6:56 PM