AMIR Hamzah
AMIR Hamzah

TENAGA Nasional Berhad (TNB) mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 37.5 peratus kepada RM2.41 bilion bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2020 berbanding RM3.86 bilion dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Keuntungan lebih rendah itu berikutan penutupan perniagaan terjejas akibat Covid-19 sehingga menyebabkan jualan elektrik berkurangan dan kesan daripada Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16 sebanyak RM595.1 juta serta kerugian tukaran mata wang asing yang belum terealisasi RM174.3 juta.

Kelembapan ekonomi disebabkan penutupan fizikal premis perniagaan, terutamanya sektor perindustrian dan komersial sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan penjualan elektrik merosot kepada 82,283.6 GWj pada tempoh dikaji berbanding 87,751.5 GWj pada tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan kumpulan berkurangan 13.2 peratus kepada RM33.65 bilion berbanding RM38.76 bilion terutama disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada syarikat subsidiari dan lebihan pemulihan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM1.48 bilion berbanding rebat pemulihan RM2 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Namun margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dalam sembilan bulan tahun kewangan 2020 kekal pada 40.9 peratus disebabkan oleh penurunan perbelanjaan operasi sebanyak 18 peratus dalam tempoh itu kerana kumpulan menyesuaikan diri dengan keperluan operasi termasuk sekatan pergerakan berikutan pandemik Covid-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pada suku ketiga berakhir 30 September lalu, permintaan dan penjualan elektrik meningkat berbanding suku sebelumnya kerana sebahagian besar sektor industri dan komersial dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, sejajar pemulihan ekonomi, permintaan maksimum 16,570 GWj pada suku itu menghampiri tahap dicapai pada tahun lalu iaitu 16,894 GWj.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 7:10 AM