PEMILIK kenderaan PCPO dilindungi daripada kos yang tidak dijangka.
PEMILIK kenderaan PCPO dilindungi daripada kos yang tidak dijangka.

PROTON akan memberikan jaminan lanjutan selama satu tahun untuk semua kenderaan PraMilik Bertauliah Proton (PCPO).

Berkuat kuasa serta-merta, semua kenderaan PCPO yang dijual melalui cawangan kereta terpakai Proton layak untuk Program Waranti Lanjutan PCPO (PCPO-EW) yang ditaja jamin oleh Allianz General Insurance.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata, di bawah program ini, bahagian enjin dan transmisi yang didapati rosak semasa penggunaan biasa akan dibaiki atau diganti untuk tempoh 25,000 kilometer atau 12 bulan.

"Proton ingin mengalu-alukan Allianz sebagai rakan kongsi insurans dalam usaha kami untuk memberikan jaminan tambahan kepada pelanggan.

"Dengan jaminan lanjutan, pemilik kenderaan PCPO dilindungi daripada kos yang tidak dijangka akibat kegagalan mekanikal untuk bahagian enjin dan transmisi," katanya.

Sejak penubuhannya pada 2019, unit Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) Proton sudah memperkenalkan prosedur operasi dan menyediakan latihan kepada pemeriksa kereta terpakai untuk menguruskan transaksi di setiap cawangan.

Ia juga bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah selaras dengan paras yang ditetapkan oleh jenama itu.

Roslan berkata, syarikat itu mempunyai 36 cawangan yang menjual kenderaan PCPO dalam negara.

"Dengan jumlah jualan Proton yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami melihat peningkatan yang sama dalam transaksi jual beli atau tukar beli.

"Oleh itu, dengan mengutamakan kepuasan pelanggan, kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami untuk memastikan pemilikan kenderaan PCPO adalah pengalaman yang memuaskan dan setanding dengan jenama lain," katanya.

Kenderaan yang dijual di bawah program PCPO menjalani pemeriksaan menyeluruh 201 mata dan dijamin bebas daripada sebarang kerosakan banjir atau kemalangan besar.

Selain menikmati jaminan lanjutan satu tahun yang meliputi enjin dan transmisi, pelanggan juga mendapat sekali perkhidmatan servis asas yang percuma selepas enam bulan dari tarikh pembelian.

Dengan peralihan kepada platform dalam talian yang semakin meningkat, UCM sudah menubuhkan laman web khusus untuk kereta terpakai Proton iaitu (https://used-cars.proton.com/) untuk menarik pembeli mahir teknologi.

Pengguna boleh melihat stok tanpa mengunjungi bilik pameran dan melayari laman web untuk mendapatkan anggaran harga pasaran bagi kereta terpakai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 7:15 AM