Shafie (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Muhyiddin.
Shafie (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Muhyiddin.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: AEON Group Malaysia menyampaikan sumbangan berjumlah RM4 juta kepada kerajaan Malaysia sebagai sokongan terhadap usaha dalam meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada peruntukan inisiatif serantau oleh AEON Co Ltd (Japan) berjumlah 350 juta yen (bersamaan dengan RM13 juta) bagi membantu melindungi keselamatan dan kesejahteraan penduduk di negara-negara Asean dalam menghadapi pandemik global ini.

Melalui peruntukan ini, AEON Co Ltd (Japan) turut menyumbang untuk program vaksinasi Covid-19 kepada Vietnam, Indonesia, Thailand dan Kemboja, selain memberikan sumbangan ke atas program-program bantuan berkaitan.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, AEON Co (M) Bhd, Shafie Shamsuddin berkata, pihaknya mengucapkan rasa syukur atas pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh kerajaan bagi memerangi pandemik ini dan juga

menyantuni keperluan rakyat khasnya menerusi program Bakul Prihatin Negara.

"Kami juga berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dari bidang perubatan, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan, kepada perkhidmatan dan sosial, serta peruncit dan AEON Warriors atas dedikasi yang berterusan tanpa mengenal penat lelah untuk berkhidmat kepada negara pada waktu yang getir ini.

"Menerusi usaha yang dijalankan bagi mempercepatkan program vaksinasi, kami yakin penularan Covid-19 akan dapat dikawal dan seterusnya kita semua dapat melalui kehidupan seperti biasa serta perniagaan akan dapat beroperasi.

"Saya percaya kita akan dapat mengembalikan semula keyakinan dan bergerak ke hadapan sebagai satu masyarakat sambil membantu mereka yang terkesan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, dengan semangat untuk berjaya bersama, AEON Group Malaysia akan terus bekerjasama

dengan kerajaan dalam memastikan program bantuan dan vaksinasi Covid-19 berjaya dijalankan demi kepentingan rakyat.

"Sehubungan itu, kami menawarkan kesemua 42 pusat membeli-belah kami di seluruh negara sebagai lokasi bank makanan dan pusat vaksinasi Covid-19," katanya.

Majlis yang diadakan di Putrajaya pada 15 Julai lalu itu menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin

Yassin menerima sumbangan daripada AEON Group Malaysia.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

AEON menyalurkan bantuan ini kepada kerajaan Malaysia melalui Yayasan Kebajikan Negara, iaitu yayasan kebajikan di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dana itu akan dimanfaatkan untuk program Bakul Prihatin Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 9:14 PM