MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (tengah), Pengurus Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun (kiri) dan  Fernandes menyempurnakan pelancaran RedBeat Academy oleh AirAsia Digital dengan kerjasama Google dan Majlis Menandatangani MoU di RedBeat Academy, KL Sentral, semalam.
MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (tengah), Pengurus Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun (kiri) dan Fernandes menyempurnakan pelancaran RedBeat Academy oleh AirAsia Digital dengan kerjasama Google dan Majlis Menandatangani MoU di RedBeat Academy, KL Sentral, semalam.
Mahanum Abdul Aziz


AIRASIA Group sedang menilai semua opsyen termasuk langkah menutup operasinya di Jepun dalam berdepan permintaan yang lemah terhadap perjalanan udara susulan penularan Covid-19 di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, setakat ini, pihaknya belum mencapai sebarang keputusan mengenai operasi syarikat penerbangan rendah itu di negara berkenaan.

Beliau berkata, apa yang dilaporkan media ketika ini adalah lebih kepada spekulasi memandangkan belum ada keputusan dicapai berkenaan hala tuju operasi di Jepun itu.

"Lembaga Pengarah kini sedang menilai pelbagai kemungkinan. Kami belum mencapai keputusan lagi. Apa boleh saya sahkan, kami perlu melihat kepada setiap opsyen yang ada termasuk menutup operasi," katanya pada sidang media selepas pelancaran Redbeat Academy di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan bahawa AirAsia Japan Co Ltd, syarikat bersekutu AirAsia Group Bhd sudah memberitahu pihak berkuasa Jepun bahawa AirAsia Japan bercadang menamatkan operasinya.

Mengulas tempoh masa keputusan mengenai operasi AirAsia di Jepun itu akan dibuat, Fernandes berkata, keputusan akan dibuat dalam tempoh seminggu.

Media juga melaporkan AirAsia Japan juga bercadang menggantung semua penerbangan bermula 1 Oktober hingga 24 Oktober 2020, susulan tekanan permintaan yang lemah daripada dijangkakan.

Mengikut laman web AirAsia, AirAsia Japan adalah antara syarikat bersekutu kumpulan syarikat penerbangan tambang rendah itu.

Bersama dengan sekutunya di Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun, AirAsia adalah syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia berdasarkan jumlah penumpang.

Laman web AirAsia juga menunjukkan kumpulan itu melalui anak syarikat milik penuhnya, AirAsia Investment Ltd mempunyai 33 peratus kepentingan dalam AirAsia Japan.

Sementara itu, mengenai pelancaran RedBeat Academy, Presiden (AirAsia Digital) Kumpulan AirAsia, Aireen Omar berkata, pada mulanya, akademi itu ditubuhkan untuk kakitangan AirAsia (Allstars) bagi mempelajari kemahiran baharu melalui bengkel teknologi seperti kecerdasan buatan, pembelajaran mesin (MI), perisian kejuruteraan, keselamatan siber serta data besar dan infrastruktur.

Beliau berkata, kini Redbeat Academy dibuka kepada orang awam untuk mendapat peluang pembelajaran daripada mentor yang terdiri daripada pemain industri profesional dan menghasilkan bakat yang boleh menyelesaikan masalah dengan teknologi.

Katanya, Redbeat Academy akan memberi tumpuan dalam lima segmen, iaitu AirAsia Allstars, badan korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agensi kerajaan, universiti dan orang awam dengan sekurang-kurangnya 100,000 bakat akan dimanfaatkan pada setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 7:01 AM