DR Ahmad Parveez Ghulam Kadir. - Gambar NSTP/AIZUDDIN SAAD.
DR Ahmad Parveez Ghulam Kadir. - Gambar NSTP/AIZUDDIN SAAD.
TOT adalah acara tahunan sejak 20 tahun lalu yang berperanan sebagai platform penting memperkenalkan teknologi dan inovasi dalam industri sawit. - BERNAMA
TOT adalah acara tahunan sejak 20 tahun lalu yang berperanan sebagai platform penting memperkenalkan teknologi dan inovasi dalam industri sawit. - BERNAMA
BERNAMA

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan memperkenalkan empat teknologi baharu berkaitan industri itu pada Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) 2021 yang akan diadakan secara maya pada 1 Julai ini.

Ketua Pengarah, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, teknologi itu membabitkan dua teknologi kawalan penyakit dalam ladang sawit, satu teknologi biojisim bagi kawalan pencemaran dari kilang sawit dan satu teknologi kejuruteraan ladang khusus untuk pengangkutan sawit segar.

"Seminar ini memberi peluang kepada semua pihak untuk melihat teknologi baharu dan teknologi lalu. Jika ada antara mereka yang berminat boleh hubungi MPOB untuk mendapatkan lesen bagi tujuan komersialkan teknologi MPOB ini.

"Kami bukan sahaja memberi kepakaran teknikal dan kemudahan penyelidikan, malah kami akan membantu sehingga mereka berjaya komersialkan produk itu," katanya ketika menjadi tetamu undangan dalam program Koresponden Bernama di Bernama TV, semalam.

Beliau berkata, sehingga kini, kadar pengkomersialan teknologi yang dihasilkan MPOB adalah 30.4 peratus, dengan 216 daripada keseluruhan 704 teknologi yang dihasilkan MPOB sudah berjaya dikomersialkan.

Ahmad Parveez berkata, MPOB mengalu-alukan pembabitan perusahaan kecil dan sederhana dalam seminar berkenaan bagi membolehkan pihaknya membantu mereka untuk meningkatkan ekonomi dari segi industri sawit.

TOT adalah acara tahunan sejak 20 tahun lalu, dengan ia berperanan sebagai platform penting untuk memperkenalkan teknologi dan inovasi dalam industri sawit yang dibangunkan kumpulan penyelidik MPOB.

Penganjuran TOT setiap tahun adalah antara strategi MPOB untuk meningkatkan pengkomersialan teknologi.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai seminar secara maya itu boleh membuat pendaftaran secara percuma dengan mengimbas kod QR di laman web rasmi MPOB https://mpob.gov.my/uncategorized/27th-mpob-transfer-of-technology-tot-s....

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:20 AM