FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya membangunkan 714 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.

Sejumlah 233 teknologi atau 32.7 peratus daripada teknologi ini sudah dikomersialkan dan diguna pakai oleh industri dan usahawan tempatan, kata MPOB sempena dengan kunjungan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani ke pusat penyelidikan dan pembangunannya (R&D) di Bangi, semalam.

Semasa lawatan itu, Johari berkata, sektor swasta seharusnya terbabit dalam pengkomersialan teknologi seperti memperhalusinya agar ia dapat digunakan industri.

"Kita boleh meminta pihak swasta seperti FGV Holdings Bhd (FGV) dan Sime Darby bekerjasama dengan MPOB untuk melakukan ujian percubaan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, teknologi MPOB dalam menghasilkan formulasi makanan seperti analog keju mozzarella berasaskan sawit memberikan prospek baik kerana produk itu boleh digunakan dalam pembuatan piza di Malaysia.

"Keju mozzarella berasaskan sawit itu dirumus menggunakan minyak sawit sebagai pengganti lemak susu dan tidak mengandungi kolesterol dan asid lemak trans.

"Analog ini mempunyai kualiti dan fungsi yang sama seperti keju mozzarella berasaskan susu komersial dan sesuai untuk membuat piza," katanya.

Selain itu, Johari juga berharap teknologi MPOB yang berjaya menghasilkan formulasi pelet makanan untuk lembu pedaging dapat mengurangkan import makanan haiwan sekurang-kurangnya 10 peratus dan membolehkan negara mengeksport produk terbabit.

Menurut MPOB, teknologi itu yang menggunakan produk sawit menawarkan alternatif kepada bahan mentah dan dapat mengurangkan kos pengeluaran makanan haiwan yang tinggi.

"Ujian percubaan komersial produk berkenaan mendapati ia tidak menjejaskan nilai pemakanan produk berkaitan.

"Formulasi pelet makanan ini yang mengandungi lebih 80 peratus bahan berasaskan sawit, termasuk dedak isirung sawit, tandan kosong dan minyak sawit mentah adalah komponen nutrisi lengkap untuk pertumbuhan lembu pedaging mengikut spesifikasi nutrien," katanya.

Sementara itu, Johari dan delegasinya juga melawat kilang rintis majerin, Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC) dan galeri sawit MPOB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 4:18 PM