PENYELIDIK MPOB mencipta jentera pemungut buah sawit relai yang cekap dan menjimatkan kos. FOTO Bernama
PENYELIDIK MPOB mencipta jentera pemungut buah sawit relai yang cekap dan menjimatkan kos. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kumpulan penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya mencipta jentera pemungut buah sawit relai yang cekap dan menjimatkan kos.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, inovasi MPOB itu menawarkan penyelesaian untuk industri sawit yang bergantung kepada kaedah manual bagi mengutip buah sawit relai di ladang.

Beliau berkata, sektor perladangan sawit sangat memerlukan sistem pemungutan buah sawit relai yang praktikal serta mampu menjimatkan kos.

"Teknologi ini mendorong kecekapan lebih tinggi dalam pemungutan buah sawit relai di ladang. Sebagaimana sedia maklum, buah sawit relai mengandungi kandungan minyak tertinggi berbanding kebanyakan buah yang terdapat di tandan.

"Jentera ini mampu memastikan semua buah relai dapat dikutip, meningkatkan pendapatan dan keuntungan ladang yang lebih tinggi kerana kadar pengekstrakan minyak yang lebih baik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut MPOB, menerusi teknologi itu, buah sawit relai kini dapat dihantar ke kilang dengan peratusan sampah yang rendah.

Teknologi ini turut memastikan kualiti buah sawit yang lebih baik dan membantu mengurangkan masalah pengilangan yang berkaitan dengan kaedah pengumpulan semasa, jelas badan itu.

Selain itu, pemungutan buah sawit relai dapat dilakukan oleh pemandu yang duduk di atas jentera tanpa menyebabkan pekerja sakit belakang.

Jentera tersebut turut meringankan beban kerana pekerja tidak perlu membawa beg yang berisi buah sawit relai di sepanjang laluan penuaian.

MPOB menjelaskan aktiviti penyelidikan yang komprehensif untuk membangunkan teknologi yang sesuai dan efisien telah dimulakan pada 2012.

Sepanjang tempoh tersebut, beberapa konsep dan prototaip telah dibangunkan dan diuji oleh MPOB dengan kerjasama pihak industri sawit.

"Ujian menunjukkan secara purata, jentera yang dicipta MPOB ini mampu memungut buah sawit relai sebanyak 4.2 hingga 5.1 kilogram/minit atau 1,200 hingga 1,500 kilogram sehari dengan kandungan sampah kurang daripada 15 peratus. Buah sawit relai tidak rosak semasa operasi," menurut MPOB.

Ahmad Parveez berkata, MPOB menandatangani perjanjian dengan RZtech Resources Sdn Bhd untuk pengkomersialan teknologi tersebut yang dapat meningkatkan produktiviti dan tenaga kerja.

Beliau berkata, syarikat berkenaan juga diluluskan untuk menerima dana pengkomersialan melalui Program Dana Mekanisasi Sawit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 5:33 PM