GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sekumpulan penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya mencipta teknologi merangkumi alat pemunggahan buah tandan segar (BTS) mudah alih yang berupaya mempertingkat usaha pemindahan sawit ke dalam lori secara lebih cekap dan cepat.

Ketua Pengarah Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, ia hasil usaha kumpulan penyelidik diketuai oleh Mohd Ramdhan Mohd Khalid yang bermula sejak 2017, yang dilancarkan di Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi MPOB 2021.

Beliau berkata, teknologi itu merangkumi rekaan casis serta sistem hidraulik bagi tujuan pemunggahan muatan daripada jentera pengangkut bersaiz kecil serta mampu mengangkut muatan sawit sehingga 400 kilogram.

"Menurut kajian, penggunaan alat ini dapat menyumbang kepada peningkatan operasi pemindahan sawit ke dalam lori sehingga 35 peratus lebih cepat berbanding cara manual.

"Kaedah pemunggahan sawit yang lebih cekap mampu mengurangkan proses pengendalian berulang selanjutnya dan kerosakan buah serta menyumbang kepada peningkatan kualiti minyak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Parveez berkata, teknologi itu juga dapat mengurangkan beban pekerja ladang sawit bagi aktiviti memunggah BTS.

"Penggunaan jentera ladang seperti ini juga antara galakan untuk menarik minat warga tempatan bekerja di ladang sawit. Malah, alat yang dijana oleh kuasa bateri ini dapat menyumbang kepada penggunaan teknologi hijau di sektor ladang sawit," katanya.

Menurut Ahmad Parveez, MPOB kini dalam proses pemindahan teknologi itu melalui perjanjian pelesenan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 4:19 PM