GAMBAR hiasan. Pangkal pokok kelapa sawit yang berlubang akibat penyakit Ganoderma. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Pangkal pokok kelapa sawit yang berlubang akibat penyakit Ganoderma. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membangunkan inovasi kawalan bio bagi merawat penyakit Ganoderma reput pangkal batang.

Dalam satu kenyataan hari ini katanya penyakit Ganoderma reput pangkal batang merupakan penyakit paling serius dihadapi oleh industri penanaman kelapa sawit Malaysia, dan jika dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan kerugian kira-kira RM1.5 bilion setahun.

"Bakteria endofitik dijangka mengurangkan dan melambatkan proses permulaan jangkitan penyakit reput pangkal batang, ia mempunyai ciri antagonis tertentu yang secara khusus penting dalam mengawal penyakit itu," kata Ketua Pengarah MPOB Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Ahmad Parveez berkata, inovasi tersebut memberi kelebihan kepada pemilik ladang dan estet kerana kultur bakteria akan mengkoloni sistem dalaman akar pokok sawit dan juga sistem akar pokok pada permukaan tanah.

Pembiakan bakteria endofitik tidak dipengaruhi oleh parameter persekitaran dan ia dapat dimulakan di peringkat tapak semaian dahulu, serta dapat mengurangkan penggunaan di peringkat lapangan, berbeza dengan produk mikrob bukan-endofitik yang sedia ada di pasaran, tambahnya.

Penyelidikan mengenai inovasi ini dimulakan pada tahun 2016 dan tamat pada tahun ini. Ia telah dilancarkan semasa Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 4:15 PM