Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Seramai lima juta peminjam akan mendapat manfaat daripada bantuan bayaran balik pinjaman dan penangguhan ansuran bayaran bulanan pinjaman di bawah pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan yang ditawarkan bank kepada pelanggan terjejas itu dijangka membabitkan nilai sekitar RM30 bilion.

"Sejak Oktober lalu, seramai 1.5 juta peminjam sudah meraih manfaat daripada bantuan bayaran balik pinjaman yang ditawarkan bank tempatan," katanya dalam laporan Laksana ke-55, hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik ansuran pinjaman kepada semua rakyat yang terjejas di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Tambahan).

Peminjam terjejas boleh memilih untuk mendapat moratorium selama tiga bulan atau pengurangan bayaran balik ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Ia membabitkan individu yang kehilangan pekerjaan (B40, M40 dan T20), golongan B40 (penerima Bantuan Sara Hidup atau Bantuan Prihatin Rakyat) dan perniagaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor yang tidak dibenarkan untuk beroperasi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tengku Zafrul berkata, bagi peminjam yang mengalami pengurangan pendapatan, mereka boleh mendapat pengurangan bayaran selaras dengan pendapatan yang berkurang, tidak kira sama ada mereka dari kelompok B40, M40 atau T20.

"Pendekatan ini membolehkan peminjam membuat pilihan berdasarkan keadaan dan keperluan kewangan masing-masing. Peminjam hanya perlu pilih dan dapat bantuan bayaran balik pinjaman yang bersesuaian daripada bank," katanya.

Tengku Zafrul sebelum ini memberi jaminan kelulusan diberikan secara automatik bagi moratorium kepada peminjam yang layak yang mana terkesan oleh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 5:52 PM