Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO IHSAN FB Tengku Zafrul
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO IHSAN FB Tengku Zafrul
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kerajaan menolak dakwaan bahawa bantuan hanya tertumpu kepada golongan B40 manakala golongan M40 sentiasa diabaikan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar kerana semua golongan rakyat diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan.

"Jika diperhatikan, bermula dari Belanjawan 2021, seterusnya pakej bantuan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Tambahan), pelbagai bantuan telah disalurkan kepada golongan M40," katanya dalam laporan Laksana ke-55, hari ini.

Antara bantuan yang layak diterima golongan M40 adalah Program Subsidi Upah (PSU), moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman, penurunan kadar cukai pendapatan sebanyak 1.0 peratus dan Sistem Insurans Pekerjaan Prihatin (SIP).

"Di bawah Belanjawan 2021, golongan M40 meraih manfaat antaranya daripada PSU, pelepasan cukai gaya hidup, Program Save 2.0, PenjanaKerja 2.0, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), pengeluaran Akaun 1&2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan geran padanan pusat penjagaan kanak-kanak," katanya.

Katanya, di bawah Permai pula, golongan M40 menerima pelbagai bantuan seperti rebat elektrik, pendahuluan i-Sinar Kategori 2, SIP, lanjutan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman dan pelepasan cukai khas barangan elektronik serta ujian saringan Covid-19.

"Dalam Pemerkasa dan Pemerkasa Tambahan, golongan ini meraih manfaat ke atas subsidi petrol, moratorium untuk tiga bulan atau pengurangan bayaran balik ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan bagi yang kehilangan pekerjaan.

"Selain itu, golongan M40 yang terjejas pendapatan juga menerima sokongan pengurangan ansuran bayaran balik pinjaman. Kerajaan juga menawarkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan lanjutan pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 5:28 PM