PEMINJAM M40 dan T20 yang berdepan pengurangan pendapatan juga boleh memohon untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman. FOTO BERNAMA
PEMINJAM M40 dan T20 yang berdepan pengurangan pendapatan juga boleh memohon untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengulangi bahawa semua peminjam yang pendapatannya berkurangan termasuk gaji, elaun, komisen dan pendapatan isi rumah adalah layak untuk mendapatkan pengurangan ansuran bulanan berdasarkan pendapatan yang terjejas.

BNM dalam beberapa ciapan di Twitter menerusi akaun @BNM_official menjelaskan bahawa bagi bantuan bayaran balik pinjaman yang baru diumumkan, golongan B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup/Bantuan Prihatin Rakyat boleh memilih moratorium selama tiga bulan atau ansuran bulanan dikurangkan 50 peratus selama enam bulan.

"Peminjam individu yang hilang pekerjaan juga boleh memilih moratorium selama tiga bulan atau ansuran bulanan dikurangkan 50 peratus selama enam bulan," katanya.

Bank pusat juga menambah perusahaan mikro (dengan kemudahan yang diluluskan hingga RM150,000) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memilih moratorium selama tiga bulan atau ansuran bulanan dikurangkan 50 peratus selama enam bulan.

BNM meminta peminjam menghubungi bank masing-masing untuk membuat pilihan ditawarkan.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemberian moratorium tidak hanya terhad kepada kumpulan B40, sebaliknya mereka dari kumpulan M40 atau T20 yang kehilangan pekerjaan juga boleh mengemukakan permohonan.

Katanya, peminjam M40 dan T20 yang berdepan pengurangan pendapatan juga boleh memohon untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman mereka sejajar dengan pengurangan pendapatan.

Peminjam yang terkesan boleh menghubungi bank mereka untuk memilih apa yang mereka mahukan dan kelulusan akan diberikan.

Beliau juga menekankan bahawa bantuan bukan saja dalam bentuk moratorium, tetapi institusi perbankan turut menyediakan pakej khusus untuk peminjam yang terjejas.

Dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Tambahan) bernilai RM40 bilion, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh sekatan pergerakan penuh diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Inisiatif itu akan dilaksanakan segera pada Jun 2021 dan dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 8:47 AM