PEMINJAM boleh menghubungi AKPK untuk dapatkan khidmat nasihat atau pilihan bayaran alternatif.
PEMINJAM boleh menghubungi AKPK untuk dapatkan khidmat nasihat atau pilihan bayaran alternatif.

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) menasihatkan peminjam yang berhasrat mengambil moratorium untuk menjalankan penilaian kendiri sebelum mengemukakan permohonan kepada bank masing-masing.

BNM melalui infografik dikeluarkan berkaitan moratorium menjelaskan bahawa langkah pertama perlu diambil adalah pertimbangkan situasi semasa sebelum membuat keputusan.

"Jika peminjam memang memerlukan bantuan, maka bolehlah memilih moratorium selama enam bulan.

"Jika berdepan pengurangan pendapatan, peminjam diminta berbincang dengan bank untuk mengurangkan bayaran ansuran.

"Namun, sekiranya peminjam mampu membayar balik pinjaman, maka langkah terbaik meneruskan pembayaran seperti biasa.

"Tetapi, jika pinjaman telah tertunggak melebihi 90 hari, peminjam perlu menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk bantuan selanjutnya," kata BNM.

Menurutnya, peminjam yang mahu mendapatkan penjelasan daripada bank juga boleh mengajukan beberapa soalan penting.

"Pertanyaan seperti berapakah jumlah bayaran ansuran bulanan selepas bantuan ini berakhir; berapakah jumlah faedah/keuntungan akan dikenakan ke atas bayaran ansuran bulanan yang ditangguhkan; adakah tempoh pinjaman/pembiayaan akan dilanjutkan dan untuk berapa lama serta adakah perlu membuat pembayaran tambahan sekali gus selepas bantuan ini berakhir, perlu diajukan kepada pihak bank.

"Selain itu, peminjam juga boleh meminta penjelasan sama ada bolehkah bayaran dibuat secara ansuran atau apakah yang patut dilakukan jika pendapatan masih terjejas selepas bantuan berakhir," kata BNM.

BNM berkata, peminjam juga perlu maklum bahawa pilihan bantuan bayaran balik dalam tempoh ini tidak akan menjejaskan laporan Sistem Maklumat Rujukan Semakan Kredit (CCRIS) selain faedah akan terus dikenakan atas jumlah ansuran yang ditangguh.

"Bank tidak akan mengenakan 'faedah atas faedah' (faedah terkompaun) atau caj penalti lewat bayar sepanjang tempoh moratorium.

"Tempoh pinjaman/pembiayaan juga mungkin lebih panjang selepas bantuan bayaran balik berakhir.

"Malah, peminjam juga boleh menghubungi bank untuk membuat penyelarasan bayaran ansuran sekiranya pendapatan bertambah baik bagi mengurangkan tempoh dan kos pinjaman/pembiayaan," kata BNM.

Selain itu, BNM berkata, peminjam boleh menghubungi AKPK untuk mendapatkan khidmat nasihat atau pilihan bayaran alternatif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 7:37 AM