MOHD Shahar Abdullah.
MOHD Shahar Abdullah.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Bank akan terus menyediakan pakej bantuan termasuk pengurangan bayaran ansuran bulanan mengikut kemampuan peminjam.

Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah berkata, permohonan moratorium di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) masih dibuka kepada peminjam yang memerlukan dan mereka hanya perlu menghubungi bank masing-masing.

Katanya, 14 Oktober lalu, industri perbankan mengumumkan Skim Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi golongan 50 peratus terbawah kumpulan pendapatan (B50) iaitu isi rumah berpendapatan sehingga RM5,880 yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Skim yang menyeluruh ini bukan saja membantu peminjam membuat pembayaran balik pinjaman mengikut kemampuan mereka, malah peminjam juga mendapat manfaat menerusi nasihat pengurusan kewangan yang boleh meningkatkan daya tahan kewangan dalam jangka masa panjang.

"Di bawah program ini, peminjam golongan B50 yang memenuhi syarat akan mendapat pengecualian faedah selama tiga bulan dan juga pilihan untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman sehingga 24 bulan keseluruhannya," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khalid Abdul Samad (PH- Shah Alam) sama ada kerajaan bakal melanjutkan pemberian moratorium kepada individu dan perusahaan dan adakah kerajaan akan memperkenalkan pemberian moratorium tanpa faedah terakru.

Mohd Shahar berkata, bagi peminjam lain yang terkesan dan memerlukan bantuan bayaran balik pinjaman selepas pakej Pemulih tamat, bank akan terus menyediakan pakej bantuan termasuk pengurangan bayaran ansuran bulanan mengikut kemampuan.

Katanya, peminjam juga boleh memohon pelbagai program yang ditawarkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) seperti Program Pengurusan Hutang, Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Skim Sokongan Daya Tahan Kewangan.

"Program ini dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan institusi perbankan, dan mempunyai ciri-ciri seperti ansuran bulanan yang berkurangan, pelanjutan tempoh bayaran balik dan program sokongan daya tahan kewangan.

"Sekiranya peminjam menghadapi kesukaran semasa berurusan dengan pihak bank atau permohonan bantuan bayaran balik pinjaman ditolak, mereka boleh menghubungi Bank Negara Malaysia secara terus melalui BNM TELELINK di talian 1-300-88-5465," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 12:05 PM