MIDA optimis  lebih banyak pelaburan berkualiti akan memasuki Malaysia.
MIDA optimis lebih banyak pelaburan berkualiti akan memasuki Malaysia.
BERNAMA

Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang kompetitif walaupun ketidaktentuan global dengan sejumlah AS$26.4 bilion (RM106.7 bilion) pelaburan diluluskan dalam sembilan bulan pertama 2020, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Ketua Pegawai Eksekutif Mida, Datuk Azman Mahmud berkata, pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan dari Januari hingga September tahun lalu menyaksikan peningkatan 16.6 peratus dalam pelaburan modal, melonjak berbanding 3.2 peratus yang dicatatkan pada tempoh sama 2019.

"Kerajaan Malaysia juga melaksanakan inisiatif tambahan bagi memacu pelaburan asing selanjutnya.

"Inisiatif itu merangkumi usaha memudahkan operasi perniagaan melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan tertentu, menyediakan insentif cukai bagi sektor farmaseutikal serta perkhidmatan dan pelaksanaan pusat sehenti (OSC) untuk memudahkan kemasukan pelancong perniagaan ke negara ini," katanya dalam kenyataan, semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena webinar Kepakaran Industri Itali di Malaysia yang dihoskan oleh Institut Penyelidikan CIMB Asean dengan kerjasama Kelab Perniagaan Asean, semalam.

Azman melahirkan keyakinan struktur ekonomi Malaysia dan pengurusan makroekonomi yang kukuh akan terus menyokong asas ekonomi negara ketika Malaysia memasuki era norma baharu.

"Ketika kita bergerak ke arah kepelbagaian strategik, terutama dalam produk serta perkhidmatan bernilai tinggi, negara ini menawarkan peluang yang luas untuk pelabur Itali dalam bidang jentera dan peralatan berkualiti, aeroangkasa, teknologi hijau, teknologi automotif dan reka bentuk perindustrian," katanya.

Mida optimis lebih banyak pelaburan berkualiti akan memasuki Malaysia pada tahun akan datang.

Dalam pada itu, pada acara berasingan, Mida mengumumkan sebanyak 100 syarikat daripada pelbagai sektor mengambil bahagian dalam program Kecerdasan Buatan Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (AI4S) dengan beberapa projek perintis kecerdasan buatan (AI) akan dilaksanakan menerusi kit permulaan AI.

Azman berkata, objektif utama program itu untuk meningkatkan jumlah kes kegunaan AI dan menunjukkan keupayaan AI dan potensi pulangannya kepada syarikat dan pelbagai entiti dalam ekonomi Malaysia.

"(Program) ini satu lagi kejayaan penting bagi Mida untuk bekerjasama dengan syarikat yang kukuh seperti Intel Malaysia dan Axiomtek iaitu rakan niaga kepada pelancaran kit permulaan AI pada Ogos tahun lalu menerusi rangkaian kerjasama dengan Mida Taiwan, ibu pejabat Mida dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)," katanya pada pelancaran program itu secara maya, semalam.

Kit permulaan AI itu adalah usaha Mida untuk membawa teknologi Industri 4.0 yang sesuai untuk digunakan di organisasi pembuatan tempatan dan perusahaan lain.

Antara sektor yang disasarkan adalah jentera dan peralatan, integrasi sistem, produk plastik dan perkhidmatan dron.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 6:50 AM