MUHAMAD Umar Swift. FOTO ASWADI ALIAS.
MUHAMAD Umar Swift. FOTO ASWADI ALIAS.
Mohd Zaky Zainuddin


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd menjangkakan 40 syarikat akan disenaraikan tahun depan dengan 30 daripadanya adalah syarikat kecil dan sederhana (PKS), susulan insentif yang diumumkan di dalam Belanjawan 2020 baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, insentif pengurangan cukai sehingga RM1.5 juta ke atas kos penyenaraian syarikat yang layak di Pasaran E Market atau LEAP Market di Bursa Malaysia akan menarik lebih banyak perniagaan termasuk PKS menyenaraikan saham masing-masing.

Justeru, beliau berkata, Bursa Malaysia menjangka sehingga 30 PKS akan disenaraikan di Pasaran ACE atau LEAP tahun depan.

“Kami menjangkakan 40 syarikat akan disenarai di Bursa Malaysia tahun depan dengan 10 daripadanya disenaraikan dalam Pasaran Utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Penyenaraian di Bursa: Membuka Potensi Perniagaan Anda melalui Penyenaraian’ anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dengan kerjasama Bursa Malaysia di sini, semalam.

Forum sehari itu bertujuan untuk menggalakkan syarikat tempatan yang mempunyai rekod cemerlang untuk menyenaraikan syarikat mereka di Bursa Malaysia bagi memacu lebih banyak pertumbuhan pelaburan domestik yang diterajui oleh sektor swasta negara.

Ia dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Hadir sama, CEO Mida, Datuk Azman Mahmud.

Muhamad Umar berkata, sehingga 8 November lalu, bursa saham itu menerima 28 penyenaraian baharu, melepasi 21 penyenaraian baharu pada 2018.

“Bursa Malaysia juga menduduki tangga kedua di ASEAN dari segi dana ekuiti yang dikumpul, permodalan pasaran dan bilangan tawaran awam permulaan (IPO) pada September 2019,” katanya.

Menempatkan lebih 900 syarikat merentas 60 aktiviti ekonomi, Bursa Malaysia adalah bursa terbesar di Asean dari segi bilangan syarikat yang disenaraikan.

Sementara itu, Azman berkata, Mida, melalui unit Penyelarasan Pelaburan (ICP) akan terus bekerjasama dengan syarikat penasihat ekuiti dan korporat serta pengawal selia tempatan dan penyedia teknologi untuk memudahkan syarikat yang merancang mengembangkan perniagaan dan menarik pelaburan.

“Pasukan ini sudah membantu lebih 200 syarikat dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama, menjalankan padanan perniagaan dengan perniagaan, di samping meningkatkan modal melalui hutang dan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan, penjualan dan IPO,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 7:00 AM