Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan tahap pelaburan memberangsangkan pada tahun lalu dengan pelaburan diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama mencapai jumlah sebanyak RM235.9 bilion berbanding RM219.4 bilion pada 2013 di mana ia melebihi sasaran purata pelaburan tahunan RM148 bilion seperti mana ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke -10 (RMK-10).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaburan domestik langsung (DDI) menyumbang sebanyak RM171.3 bilion atau 72.6 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan itu manakala sumber asing (FDI) pula sebanyak RM64.6 bilion (27.4 peratus).

“Sektor perkhidmatan menyumbang bahagian besar daripada jumlah pelaburan itu dengan peratusan sebanyak 63.4 atau RM149.6 bilion diikuti sektor pembuatan (RM71.9 bilion) atau 30.5 peratus manakala sektor utama sebanyak RM14.4 bilion (6.1 peratus),” katanya pada Persidangan Tahunan Media Lembaga Pelaburan Industri Malaysia (MIDA) di sini, semalam.

Beliau berkata, jumlah pelaburan diluluskan adalah sebanyak 5,942 projek dan ia dijangka menjana sebanyak 178,360 peluang perkerjaan terutama dalam teknologi tinggi dan industri yang memiliki nilai ditambah tinggi.

“Sektor perkhidmatan menyumbang sebahagian besar daripada jumlah taburan pekerjaan berpotensi dalam ekonomi dengan 98,540 atau 55.3 peratus peluang pekerjaan diikuti sektor pengilangan sebanyak 78,340 (43.9 peratus) dan sektor utama dengan 1,480 (0.8 peratus),” katanya.

Mustapa berkata, MIDA sebagai ‘single window’ untuk pelaburan di Malaysia akan meningkatkan fungsi penyelarasannya dalam menarik pelaburan berkualiti iaitu asing dan domestik pada tahun ini dan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 10:06 AM