PENGARAH Eksekutif Promosi Pelaburan Mida, Sivasuriyamoorthy Sudara Raja (kiri) bertukar dokumen persefahaman  dengan Pengarah Urusan Perbankan UOB Malaysia, Ng Wei Wei sambil diperhatikan Arham  (kiri).
PENGARAH Eksekutif Promosi Pelaburan Mida, Sivasuriyamoorthy Sudara Raja (kiri) bertukar dokumen persefahaman dengan Pengarah Urusan Perbankan UOB Malaysia, Ng Wei Wei sambil diperhatikan Arham (kiri).
hmonline

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) berharap jumlah pelaburan yang diluluskan bagi 2019 akan mengatasi angka 2018 yang mencecah RM204.36 bilion.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arham Abdul Rahman berkata, setakat tempoh Januari-September 2019, Malaysia mencatat jumlah pelaburan RM149 bilion dan angka awal direkodkan untuk Oktober sehingga Disember 2019 menunjukkan sasaran itu mampu dicapai.

“Bagi tempoh 2020 misalnya, kami menyasarkan menarik pelaburan sekitar RM200 bilion dan merancang beberapa projek tahun ini,” katanya di luar majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Mida dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB) di sini, semalam.

Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak bekerjasama bagi menarik firma global menyumbang secara positif terhadapl ekonomi tempatan menerusi pelaburan mampan.

Ini dapat membantu memudahkan pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada syarikat tempatan selain mewujudkan peluang melahirkan tenaga kerja Malaysia berkemahiran tinggi.

Malah, sejajar usaha mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan, Mida dan UOB akan menganjurkan bersama siri jelajah membabitkan pasaran utama seperti China, ASEAN dan Jepun.

Arham berkata, kerjasama dengan UOB itu membolehkan Mida menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti dengan nilai tambah tinggi, modal serta sektor berintensifkan pengetahuan.

Menurutnya, sektor dengan nilai tambah tinggi itu termasuk elektrikal dan elektronik, mesin dan peralatan, peranti perubatan, aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi kepenggunaan.

Selain mempromosikan pembangunan ekosistem pelaburan, Mida juga menyasarkan untuk memastikan elemen pengupayaan dapat dilaksanakan bagi memenuhi keperluan perniagaan.

“Ini termasuk memberi akses lebih mudah kepada perkhidmatan asas kewangan bagi membantu pelabur berjaya di pasaran baharu muncul seperti Malaysia,” katanya.

Menurutnya, sebagai antara bank komersial terbesar dunia, UOB juga boleh membuka jalan dari segi peluang perniagaan dan pelaburan di peringkat global dengan menyediakan perkhidmatan kewangan cemerlang untuk perniagaan tempatan dan asing.

Dalam pada itu, Arham berkata, MIDA akan terus memantau konflik perdagangan Amerika Syarikat-China, Brexit dan ketegangan geopolitik di Asia Barat bagi meneliti potensi penempatan semula perniagaan dan pelaburan yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 1:42 PM