ECOWORLD Malaysia memutuskan untuk tidak meneruskan penggabungan yang dicadangkan dengan UEM Sunrise.
ECOWORLD Malaysia memutuskan untuk tidak meneruskan penggabungan yang dicadangkan dengan UEM Sunrise.

Kuala Lumpur: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) memutuskan untuk tidak meneruskan penggabungan yang dicadangkan dengan UEM Sunrise.

Pengerusinya, Tan Sri Liew Kee Sin berkata, penghentian rundingan penggabungan yang diusulkan itu akan membolehkan EcoWorld Malaysia secara aktif meneruskan cadangan korporat lain yang mungkin lebih melengkapi strategi pertumbuhan kumpulan ketika ini.

"Ini juga akan membolehkan kami fokus kepada rancangan perniagaan kumpulan untuk tahun kewangan 2021 (TK2021) yang merangkumi sasaran jualan RM2.875 bilion untuk EcoWorld Malaysia, 25 peratus lebih tinggi daripada jualan sebanyak RM2.3 bilion yang direkodkan pada TK2020," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, keputusan untuk menghentikan rundingan penggabungan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan UEM Sunrise pada bulan ini selain penilaian teliti Cadangan Penggabungan oleh Lembaga Pengarah EcoWorld Malaysia.

"Dengan persekitaran mencabar dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan penggabungan ini.

"Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UEM Group Berhad atas cadangan berkenaan dan kami sentiasa terbuka terhadap kemungkinan adanya kolaborasi masa depan dengan UEM Sunrise, sekiranya ada peluang lain," katanya.

Sementara itu, Liew berkata, EcoWorld memulakan tahun 2021 dengan baik melalui jualan sebanyak RM500 juta yang dicapai pada dua bulan pertama TK2021.

"Ini adalah hasil yang sangat memberangsangkan memandangkan November hingga Disember adalah tempoh perlahan untuk sektor hartanah.

"Keupayaan pasukan EcoWorld untuk mengurus jualan ini menunjukkan mereka berupaya melaksanakan tugasan dan mengubah keseluruhan proses menggunakan setiap alat yang ada, terutama digital dan saluran media sosial untuk berinteraksi dengan pelanggan.

"Kami akan terus berusaha memanfaatkan digitalisasi dan meningkatkan setiap aspek proses penjualan dalam tempoh PKP bagi mendorong pencapaian sasaran keseluruhan yang ditetapkan untuk tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 7:00 AM