Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah.
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah.
Hazwan Faisal Mohamad


Kuala Lumpur: UEM Sunrise Bhd yakin mampu mencapai sasaran jualan RM1.5 bilion menjelang akhir tahun ini didorong oleh momentum pertumbuhan yang semakin menggalakkan ditunjukkan pada separuh kedua 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah bagaimanapun berkata pemaju hartanah itu kekal berhati-hati dengan sasaran berkenaan memandangkan dinamik pasaran yang kekal mencabar ketika ini.

Katanya, momentum pada suku pertama tahun ini agak perlahan disumbangkan oleh beberapa faktor antara lain ketiadaan pemangkin dalam pasaran hartanah apabila kempen pemilikan rumah (HOC) berakhir pada akhir tahun lalu.

"Selain itu, ketidaktentuan politik pada suku pertama di Johor sehingga menyebabkan berlaku pilihan raya negeri (PRN) turut menyumbang kepada pertumbuhan jualan yang perlahan.

"Ini kerana, banyak projek kami di Johor mengalami kelewatan dari segi pelancaran susulan PRN, selain turut menjejaskan keupayaan kami untuk melaksanakan aktiviti penjualan di negeri itu.

"Namun, secara keseluruhan, kami masih optimis. Menjelang akhir tahun ini, jika sekali pun tidak dapat memenuhi sasaran, sekurang-kurangnya kami hampir dapat mencapai dengan jumlah berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media prestasi keputusan kewangan suku kedua berakhir 30 Jun 2020 syarikat itu secara maya, semalam.

UEM Sunrise merekodkan keuntungan bersih RM20.7 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, berbanding kerugian bersih RM7.37 juta pada suku sama tahun lalu.

Pendapatannya turut meningkat kepada RM365 juta pada suku dikaji, meningkat 46.5 peratus, berbanding RM249.1 juta pada suku sama tahun lalu.

Tiada dividen diisytiharkan oleh pemaju hartanah itu.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2022, UEM Sunrise merekodkan keuntungan bersih RM39.7 juta berbanding kerugian bersih RM11.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Pendapatannya pula 56 peratus lebih tinggi pada tempoh dikaji iaitu RM781.5 juta berbanding RM501.8 juta pada separuh pertama 2021.

Prestasi menggalakkan itu dipacu oleh pengebilan kemajuan yang lebih tinggi dan kemajuan pembinaan daripada pembangunan tempatan, terutamanya Residensi Solaris Parq di Dutamas; Serene Heights di Semenyih; Aspira ParkHomes di Gerbang Nusajaya; Senadi Hills di tengah Iskandar Puteri; Residensi Astrea di Mont'Kiara dan jualan yang lebih tinggi bagi Estuari Gardens di Puteri Harbour.

Sufian berkata, prestasi kewangan UEM Sunrise semakin bertambah baik seperti yang ditunjukkan daripada keuntungan yang diperoleh syarikat dalam tempoh kewangan ini dan momentum itu dijangka berterusan untuk sepanjang baki tahun ini.

"Kami berbesar hati kerana inisiatif yang dijalankan di bawah segmen Triage bagi strategi kumpulan telah menunjukkan hasil yang positif. Penekanan kami adalah pada peningkatan struktur kos dan menggunakan pembelian bahan binaan secara pukal, penggabungan kontrak perkhidmatan dan memasuki program perkongsian vendor sebagai cara untuk mencapai kecekapan kos.

"Kami juga memanfaatkan inisiatif ini untuk mengurangkan kenaikan harga bahan binaan. Keutamaan kami pada masa ini adalah untuk mengukuhkan saluran produk dan memberi tumpuan kepada aktiviti pembangunan hartanah.

"Rancangan untuk melancarkan projek yang disasarkan masih utuh. Kami menjangkakan melancarkannya pada separuh kedua 2022. Pelancaran pembangunan kami di Taman Connaught, Cheras akan ditangguhkan ke tahun depan dengan ia dirancang akan dilancarkan pada awal 2023," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 5:36 PM