MOHD Zunaidi (kiri) bersama Hafiz Izwan antara vendor Bumiputera UEM Sunrise. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MOHD Zunaidi (kiri) bersama Hafiz Izwan antara vendor Bumiputera UEM Sunrise. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Suliati Asri

Kuala Lumpur: Agenda Pemerkasaan Vendor Bumiputera (BVEA) UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise), anak syarikat UEM Group Berhad (UEM Group) menjadi 'batu loncatan' buat vendor Bumiputera untuk terus membangun dan berkembang dalam perniagaan.

Inisiatif BVEA ini juga selaras dengan hasrat Khazanah Nasional Berhad selaku syarikat induk UEM Group, untuk memacu persekitaran ekonomi yang lebih kompetitif serta menyumbang ke arah agenda pembangunan negara.

Penganjuran program ini bagi menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi Bumiputera, memperkasa serta membangunkan vendor Bumiputera, sekali gus menjadikan mereka lebih berkebolehan dan yakin untuk mendapatkan kontrak daripada entiti lain yang lebih besar dan meluas.

Ia dirangka dengan teliti oleh UEM Sunrise bagi menyokong komuniti vendor Bumiputera melalui pelbagai langkah strategik termasuk pemberian peluang dan peningkatan penyertaan dalam projek UEM Sunrise, membangunkan vendor yang berdaya tahan dan berdaya saing, menjalin kerjasama yang lebih baik serta perkongsian perniagaan strategik.

Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pihaknya percaya dengan keterangkuman ekonomi dan peranan penting program ini dalam pembangunan negara.

Katanya, menerusi inisiatif BVEA UEM Sunrise ini, pihaknya berhasrat meningkatkan keupayaan vendor Bumiputera dengan perspektif jangka panjang bagi menyediakan mereka untuk bersaing dalam pasaran yang lebih luas dan mengembangkan perniagaan mereka dengan berkesan.

"Pada 2022 dan 2023, UEM Sunrise menganugerahkan kontrak bernilai RM143 juta kepada 20 vendor Bumiputera.

"Ini manifestasi komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk membangunkan keupayaan mereka serta mewakili pelaburan kami ke arah masa depan yang mampan dan saksama untuk rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, pihaknya komited mengembangkan rangkaian vendor Bumiputera mahir mereka.

"Matlamat kami memupuk rangkaian usahawan teguh dan berdaya saing serta boleh beroperasi di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Program BVEA dirangka bagi memperkasa usahawan dengan menawarkan prospek pembangunan dan perusahaan berkaitan termasuk peranan dalam projek akan datang.

"Pencapaian vendor Bumiputera kami adalah bukti keberkesanan inisiatif BVEA yang dapat dilihat menerusi pembabitan dan sumbangan mereka yang semakin meningkat kepada nilai kontrak projek UEM Sunrise sejak program ini bermula," katanya.

Ditubuhkan pada 2015, kini UEM Sunrise mempunyai 626 vendor Bumiputera berdaftar di bawah inisiatif BVEA yang menyediakan perkhidmatan dalam pelbagai bidang antaranya landskap, perundingan reka bentuk, pengurusan acara dan banyak lagi.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Telcowin Sdn Bhd Hafiz Izwan Mohd Arifin, BVEA membolehkan syarikatnya meneroka lebih banyak peluang.

Menurutnya, menerusi peluang dan kepercayaan yang diberikan UEM Sunrise bermula dari 2019 membolehkan syarikatnya meningkatkan keupayaan dari segi kemahiran dan kapasiti untuk memastikan mereka dapat menjayakan projek yang diberikan.

"Sebelum ini, kebanyakan projek kami laksanakan lebih kepada pemasaran digital. Namun selepas menjadi vendor Bumiputera UEM Sunrise, perkhidmatan kami tawarkan lebih meluas dengan memanfaatkan tranformasi digital dalam pelbagai platform.

"Menerusi BVEA ini juga, UEM Sunrise membantu dan memberi peluang kepada kami belajar dan mengembangkan perniagaan terutama dalam pengurusan projek apabila ia membabitkan pelbagai pihak berkepentingan," katanya.

Hafiz Izwan berkata, untuk mendapatkan kepercayaan dan peluang dari pasaran sangat sukar.

"Dengan kurangnya peluang dan kepercayaan itu, kebanyakan syarikat Bumiputera akan melakukan projek yang kecil, sekali gus menyebabkan syarikat tidak berkembang.

"Namun dengan peluang yang diberikan oleh UEM Sunrise menerusi inisiatif BVEA ini, saya percaya semua syarikat mampu memberi sesuatu yang berbeza, sekali gus mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Berkongsi perancangan masa depan syarikatnya, Hafiz Izwan berkata kini mereka bukan saja terbabit dalam industri hartanah, tetapi mengembangkan keupayaan dan kapasiti dalam pelbagai industri termasuk industri minyak dan gas, media, juga perkhidmatan kewangan.

"Kini, menerusi program ini kami juga sudah mempunyai pelanggan di beberapa negeri dan kini sedang dalam perancangan untuk memperkembangkan perniagaan di negara Asean pula.

"Daripada pendigitalan aset, kami juga kini berupaya menerokai ekosistem Salesforce®️ yang menawarkan penyelesaian pemasaran digital menggunakan jenama CRM #1 di dunia," katanya.

Bagi, Pengarah Eksekutif Strategi Jati Sdn Bhd Mohd Zunaidi Abd Wahab berkata, syarikatnya menyertai BVEA dengan niat untuk mengembangkan lagi perniagaan kerana yakin UEM Sunrise sentiasa membantu Bumiputera.

Katanya, sebagai kontraktor kecil, syarikatnya perlu bersaing dengan kontraktor lain yang lebih besar selain sentiasa berdepan cabaran mengenal pasti masalah, punca dan cara mengatasinya.

"Mengembangkan perniagaan antara cabaran yang bukan saja kami hadapi tetapi juga dihadapi oleh kebanyakan kontraktor dan syarikat kecil lain.

"Oleh itu, menerusi inisiatif BVEA ini, ia banyak mengajar kami mengenai selok-belok perniagaan dan mengembangkan penguasaan perniagaan ke merata negeri di Malaysia," katanya yang menyediakan perkhidmatan landskap.

Mohd Zunaidi berkata, menerusi inisiatif BVEA ini, UEM Sunrise menganjur dan menyediakan latihan diperlukan seperti latihan kepimpinan, perancangan strategik dan kewangan serta banyak lagi.

"UEM Sunrise juga mengadakan lawatan setiap suku tahunan untuk memberikan pandangan, idea dan langkah-langkah strategik untuk penambahbaikan syarikat.

"Hal ini secara tidak langsung membantu kami untuk merancang dan merangka sistem pengurusan yang lebih efektif.

"Ini termasuk bagaimana merangka KPI untuk syarikat dan kakitangan, menentukan hala tuju, visi dan misi syarikat, pelan jangka pendek dan jangka panjang yang secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti syarikat," katanya.

Oleh itu, dengan manfaat diperoleh menerusi inisiatif BVEA ini, Mohd Zunaidi menyeru kepada mana-mana syarikat Bumiputera mendaftar sebagai vendor Bumiputera UEM Sunrise dan menyertai setiap program yang disediakan untuk mendapat bimbingan di dalam pengurusan syarikat.

"Inisiatif ini bukan saja membuka peluang luas tetapi dengan sistem pengurusan sistematik, dapat menjadikan syarikat lebih mampan dan bertahan dengan cabaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 10:44 AM