DR Wan Junaidi
DR Wan Junaidi
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (Medac) menjelaskan laporan yang menyatakan lebih 30,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menutup operasi mereka sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19 yang bermula Mac lalu tidak tepat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebanyak 82,555 perniagaan baharu didaftarkan berdasarkan data yang dikeluarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bermula pada 1 April hingga 19 Julai tahun ini.

"Ini menunjukkan dalam situasi semasa Covid-19, ia tidak menghalang sesiapa saja untuk menceburi bidang perniagaan, tetapi perlulah mengikut kehendak semasa iaitu dengan menggunakan platform e-dagang sebagai medium pemasaran produk atau perkhidmatan," katanya dalam kenyataan.

Wan Junaidi menerusi jawapan bertulis Parlimen pada 5 November lalu menyatakan berdasarkan statistik yang dikeluarkan SSM, 9,675 syarikat dan perniagaan yang menutup operasi pada 18 Mac hingga 9 Jun 2020 dan 22,794 syarikat juga menutup operasi bagi tempoh 10 Jun sehingga September 2020.

"Kenyataan ini menunjukkan dalam tempoh Mac hingga September, ia bukan hanya merujuk kepada syarikat PKS yang menutup operasi, tetapi merangkumi keseluruhan syarikat yang berdaftar dengan SSM," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Medac sentiasa mengambil langkah proaktif dan menyarankan usahawan perlu sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi situasi semasa penularan Covid-19 dengan bersiap sedia mengemaskan diri dan perniagaan dengan perkongsian pengetahuan yang disediakan secara percuma oleh agensi kerajaan bagi mendapatkan cara baharu menjalankan perniagaan.

Di samping itu, Wan Junaidi berkata, usahawan juga perlu menyesuaikan perniagaan dengan norma baharu kehidupan, memperkasakan perniagaan melalui pendigitalan dan memperhebat strategi promosi.

"PKS disarankan untuk mengekalkan data maklumat pelanggan, mengekalkan perhubungan dengan pelanggan, mengekalkan jenama produk mereka supaya pelanggan tidak melupakan produk mereka selepas tempoh PKP berakhir," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 7:01 AM