Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Belanjawan 2021 memberi penekanan kepada usaha membangunkan kapasiti dan daya saing usahawan mikro, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), koperasi dan golongan B40 bagi memastikan pemulihan dan kelestarian operasi perniagaan serta kelangsungan perniagaan ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementeriannya akan meneruskan agenda pembangunan usahawan mikro dan PKS Bumiputera dengan memanfaatkan peruntukan itu.

"MEDAC komited meneruskan agenda keusahawanan negara dan bagi memastikan peruntukan diumumkan dimanfaatkan sepenuhnya selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.

"Peruntukan diumumkan dalam Belanjawan 2021 besar maknanya kepada sektor keusahawanan kerana perlu usaha berterusan membantu golongan itu," katanya pada sidang media khas di Menara Berkembar Bank Rakyat, semalam.

Wan Junaidi berkata, terdapat lebih 900,000 usahawan seluruh negara terdiri daripada PKS serta mikro, tidak termasuk usahawan tidak formal.

"Terdapat lebih 14,625 koperasi dengan keahlian berjumlah 6.09 juta orang.

"Sektor keusahawanan memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 38 peratus ketika ini. Mengikut perancangan, hasrat kita berdasarkan DKN 2030 menyasarkan ia boleh menyumbang kepada KDNK sehingga 50 peratus," katanya.

Menurutnya, koperasi pula memberi sumbangan RM40 bilion untuk KDNK ketika ini dan pihaknya berharap sektor koperasi dapat meningkatkan sumbangan KDNK RM100 bilion dalam tempoh 10 tahun lagi.

"Justeru, kita berhasrat sektor berkenaan mengambil langkah transformasi untuk wujudkan perkongsian kekayaan. Contohnya, jangan ada koperasi kaya tetapi ahlinya bawah B40," katanya.

Menurutnya, cara perniagaan ketika norma baharu perlu diterap kepada semua peniaga dan tidak menoleh ke belakang lagi.

"Keadaan sekarang memerlukan cara berniaga yang menerapkan penggunaan teknologi dalam sistem perniagaan dan koperasi bagi memudahkan kerja seharian.

"Kita tidak boleh lagi bertindak seperti 2018 atau ke belakang. Kita perlu mengikut cara baharu dan ia bukan perkara asing," katanya.

DATUK Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO Saifullizan
DATUK Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO Saifullizan

Menurutnya, kerajaan bakal melancarkan Dasar E-Commerce (E-dagang) oleh Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

"MEDAC akan memainkan peranan besar supaya PKS boleh terbabit sama malah kita dapati kebanyakan usahawan tidak formal masih belum mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kesannya mereka tidak boleh buka akaun bank. Jadi sukar untuk buat pembayaran e-dagang.

"Sistem yang kita nak perkenalkan ini kena lengkap dari bawah hingga atas supaya tempahan barang contohnya rider (penghantar) boleh hantar, pembayaran kepada rider kalau ada platform sendiri, e-Wallet sendiri," katanya.

Dalam usaha merancakkan PKS di luar bandar, Wan Junaidi berkata, pihaknya akan memperluas capaian perkhidmatan e-hailing itu menerusi Warong Rider.

Beliau menggalakkan peniaga yang masih belum mendaftar berbuat demikian bagi 'melayakkan' mereka menggunakan perkhidmatan berkenaan.

"Kerajaan telah membuat dasar melaksanakan digitalisasi. MEDAC terpaksa mengambil tindakan khusus untuk bantu Pak Amir daftar perniagaan cucurnya dalam talian. Bukan sekadar muat naik gambar dalam talian tetapi bagaimana makanan itu boleh dipesan dalam talian serta dihantar oleh rider.

"Kita akan melihat supaya setiap kawasan Parlimen ada perkhidmatan ini. Kita akan buat kajian kepadatan dan akan bincang dengan SME Corp untuk perluaskan perkhidmatan berkenaan di seluruh negara," katanya.

Wan Junaidi berkata, beliau berharap semua agensi kerajaan membantu PKS atau perniagaan termasuk koperasi secara berterusan supaya sektor berkenaan dapat terus menjana ekonomi negara serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Mengikut rekod katanya, PKS memberi sumbangan signifikan kepada peluang pekerjaan sebanyak 48 peratus.

"Itu satu jumlah yang agak besar. Tak salah saya, sebanyak tujuh juta orang terbabit dengan PKS. Jadi, kalau sektor ini tidak dibantu dan bajet tidak diluluskan maka ia boleh melambatkan usaha kerajaan untuk membantu.

"PKS adalah satu kelompok perusahaan kecil, mikro dan tidak formal yang terjejas teruk sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka ini perlu bantuan yang berterusan khususnya bagi meneruskan perancangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 1:03 PM