SEORANG usahawan,  Salhani Ibrahim menerima tempahan baju tidur kanak-kanak melalui platform e-dagang secara dalam talian di rumahnya.
SEORANG usahawan, Salhani Ibrahim menerima tempahan baju tidur kanak-kanak melalui platform e-dagang secara dalam talian di rumahnya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) akan membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memperkasakan perniagaan mereka melalui platform e-dagang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, platform itu dapat memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi usahawan PKS dan mikro.

"Platform ini dapat membantu memperluas akses usahawan kepada RM150 juta dalam dana sumber pembiayaan alternatif dan membantu usahawan PKS serta mikro tempatan yang terkesan ekoran daripada wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk bangkit semula memulihkan perniagaan mereka.

"Ia juga dapat membantu usahawan PKS dan mikro tempatan yang ditawarkan Geran SME Corp seperti Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) untuk memulakan projek sebagai bridging fund," katanya dalam kenyataan.

Menurut statistik Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor e-dagang negara menyumbang RM127 billion daripada keseluruhan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu.

Sektor itu juga menunjukkan trend peningkatan dari segi prestasinya berbanding 2015 yang mencatat RM89 billion.

Sehubungan itu, Wan Junaidi berkata, Medac mengadakan perjumpaan bersama syarikat dan operator pasaran dalam talian untuk mewujudkan kerjasama membantu usahawan meningkatkan keupayaan perniagaan dalam kalangan peniaga, penjaja kecil, mikro dan pekerja bukan formal tempatan secara dalam talian.

"Seramai 13 orang wakil syarikat-syarikat utama e-dagang yang beroperasi di Malaysia telah hadir di dalam sesi perbincangan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 7:05 AM