KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi  melalui SME Corp komited menyediakan inisiatif bagi membantu usahawan beralih kepada pendigitalan.
KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui SME Corp komited menyediakan inisiatif bagi membantu usahawan beralih kepada pendigitalan.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) melalui SME Corporation Malaysia (SME Corp) komited menyediakan inisiatif bagi membantu usahawan di negara ini beralih ke arah pendigitalan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Medac dan SME Corp dipertanggungjawabkan sebagai peneraju salah satu teras di bawah Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NESR) yang bertujuan mempercepatkan penerapan e-dagang dalam kalangan usahawan.

Katanya, mengikut kaji selidik yang dijalankan SME Corp mengenai adaptasi ICT dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ada peningkatan dari segi pembabitan PKS dalam perniagaan dalam talian iaitu 26 peratus kepada 37 peratus pada 2018.

"Bagi tempoh 2016 hingga 31 Mei 2020, 322,834 PKS di Malaysia menyertai platform e-dagang manakala 171,776 PKS sudah menghadiri latihan melalui pelbagai program daripada rakan strategik e-dagang, persatuan dan agensi kerajaan.

"Medac sudah menyediakan pelbagai kursus dan program berkenaan pendigitalan perniagaan kepada usahawan yang berminat untuk mengembangkan perniagaan atau bertukar konsep perniagaan sedia ada kepada platform e-dagang.

"Bagi 2019, penyertaan PKS dalam perniagaan dalam talian sebanyak 35.3 peratus.

"Sehingga 31 Januari 2020, sebanyak 276,176 entiti sudah berdaftar sebagai perniagaan dalam talian melalui pendaftaran di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya dalam kenyataan.

Namun begitu, Dr Wan Junaidi berkata, biarpun ada peningkatan dalam jumlah penyertaan PKS dalam platform pendigitalan, peratusan usahawan PKS yang beralih kepada platform e-dagang boleh dipertingkatkan lagi.

Menurutnya, berdasarkan kaji selidik Digital PKS Malaysia 2018 yang dilaksanakan SME Corp dan Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd, majoriti PKS menggunakan komputer dan internet sebagai medium operasi perniagaan.

"Kaji selidik juga mendapati PKS masih menghadapi masalah untuk menambah baik operasi perniagaan daripada pengkomputeran kepada digitalisasi.

"Ini disebabkan PKS menghadapi isu dari segi kos, teknologi, infrastruktur dan kemahiran penggunaan digital dalam operasi syarikat," katanya.

Bagaimanapun katanya, agensi seperti INSKEN, SME Corp dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) sudah menyediakan pelbagai program dan kursus secara dalam talian untuk membantu lebih ramai usahawan dalam aplikasi digital.

"Dalam pada itu, saya sudah meminta kementerian dan semua agensi di bawah Medac untuk memikirkan, meneliti inisiatif baharu dan melaksanakan program tambahan bagi membantu serta meningkatkan lagi jumlah usahawan e-dagang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 7:31 AM