Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias selepas Majlis Pelancaran Belanjawanku - Panduan Perbelanjaan Untuk Individu dan Keluarga di Malaysia di Pusat Pembelajaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bangi. FOTO Aizuddin Saad
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias selepas Majlis Pelancaran Belanjawanku - Panduan Perbelanjaan Untuk Individu dan Keluarga di Malaysia di Pusat Pembelajaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bangi. FOTO Aizuddin Saad
Nabil Basaruddin


Individu bujang yang menggunakan pengangkutan awam dan tinggal di Lembah Klang memerlukan sekurang-kurangnya RM1,870 sebulan bagi menampung perbelanjaan harian untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Malah, bagi individu bujang yang memiliki kenderaan sendiri, golongan ini perlu berbelanja sekitar RM2,490 sebulan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik di lokasi sama.

Anggaran belanja berkenaan termasuklah makanan, rumah, kesihatan, pengangkutan, utiliti, simpanan, penjagaan diri, belanja tahunan, aktiviti sosial dan belanja lain serta penjagaan kanak-kanak bagi pasangan berkahwin.

Menurut Buku Panduan Belanjawanku yang dilancarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya di Bangi hari ini, ia adalah perbelanjaan minimum bulanan ke atas pelbagai barang dan perkhidmatan yang diperlukan oleh setiap isi rumah bagi taraf hidup yang selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, ia bukanlah preskripsi dalam menyelesaikan masalah sebaliknya bertindak sebagai panduan belanjawan secara menyeluruh.

Katanya, dalam Belanjawanku, taraf hidup yang munasabah merangkumi wang yang mencukupi bagi memenuhi keperluan asas, terbabit dengan aktiviti komuniti seperti keluarga dan rakan serta mempunyai tujuan hidup yang bermakna.

“Pasangan berkahwin tanpa anak kira-kira RM4,420 diperlukan manakala, pasangan berkahwin dengan seorang dan dua anak pula masing-masing perlu memperuntukkan sehingga RM5,730 dan RM6,620 sebulan.

“Selain itu, bagi pasangan warga emas yang berada di Lembah Klang pula perlu mempunyai belanjawan sebanyak RM3,090 pada setiap bulan bagi menampung kehidupan seharian di kota raya,” katanya.

Buku Panduan Belanjawanku boleh dimuat turun secara percuma di laman web KWSP atau mana-mana kaunter KWSP di Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 4:43 PM