Mahaizura Abd Malik

Sungai Buloh: Kaji selidik dilakukan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) mendedahkan sebanyak 84 peratus rakyat Malaysia tiada simpanan tetap setiap bulan.

Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, KWSP adalah ahli kepada FEN yang mengendalikan kajian itu menerusi data Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 hingga 2023.

"Mengikut data itu, sebanyak 84 peratus rakyat Malaysia mengakui mereka menyimpan secara tetap hanya untuk jangka pendek sahaja, di mana lazimnya simpanan itu akan dikeluarkan semula pada hujung bulan untuk menampung perbelanjaan harian.

"Data itu juga menunjukkan sebanyak 52 peratus rakyat Malaysia berasa sukar untuk mengenepikan RM1,000 untuk kegunaan kecemasan.

"Selain itu, sebanyak 76 peratus rakyat Malaysia mempunyai belanjawan tetapi tidak semua benar-benar mematuhi belanjawan itu," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis pelancaran Aplikasi Belanjawanku 2022/2023 di Menara KWSP, Kwasa Damansara di sini, hari ini.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hadir merasmikannya dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Rafizi (tengah) melakukan gimik perasmian bersama Ahmad Badri (dua dari kiri), Amir Hamzah (dua dari kanan), Pengerusi Jawatankuasa Strategi KWSP, Zainal Abidin Mohd Kassim (kiri), dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Malaya, Profesor Ir. Dr. Shaliza Ibrahim, ketika Majlis Pelancaran Aplikasi dan Buku Belanjawanku (Panduan Belanjawan Untuk Individu dan Keluarga di Malaysia), di Dewan Perdana, Menara KWSP, Shah Alam. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Rafizi (tengah) melakukan gimik perasmian bersama Ahmad Badri (dua dari kiri), Amir Hamzah (dua dari kanan), Pengerusi Jawatankuasa Strategi KWSP, Zainal Abidin Mohd Kassim (kiri), dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Malaya, Profesor Ir. Dr. Shaliza Ibrahim, ketika Majlis Pelancaran Aplikasi dan Buku Belanjawanku (Panduan Belanjawan Untuk Individu dan Keluarga di Malaysia), di Dewan Perdana, Menara KWSP, Shah Alam. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Mengulas insiatif Belanjawanku, Ahmad Badri berkata, aplikasi itu yang dibangunkan KWSP dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya sejak 2019, menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan minimum untuk pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan mengikut kadar isi rumah berbeza sekali gus membantu rakyat merancang kewangan dan perbelanjaaan lebih berhemah.

"Sebagai projek rintis, panduan ini pada mulanya dibangunkan pada 2019 untuk pengguna di Lembah Klang sahaja.

"Kini, panduan Belanjawanku diperluaskan lagi untuk kegunaan pengguna di 11 kawasan utama di seluruh negara seperti Johor Bahru, Alor Setar dan Kuching.

"Sehingga Mei lalu, aplikasi Belanjawanku merekodkan 12,000 jumlah muat turun," katanya.

Sementara itu, Pengarah SWRC Prof Datuk Dr Norma Mansor berkata, tahap celik kewangan rendah dan peningkatan kos sara hidup menjadi penyebab utama rakyat Malaysia mempunyai simpanan rendah, hutang tinggi serta isu bankrap dalam kalangan belia.

"Di sinilah, aplikasi Belanjawanku memainkan peranan sebagai panduan untuk perancangan kewangan dan pengurusan hutang individu serta pada masa sama mengesyorkan jumlah simpanan untuk kegunaan masa depan.

"Pembuat dasar juga boleh menggunakan Belanjawanku sebagai penanda aras dalam menangani isu kos sara hidup, pariti kuasa beli dan membasmi kemiskinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 2:16 PM