ADALAH penting untuk memastikan nilai gaji minimum yang diberikan oleh pihak majikan kepada pekerja itu mampu menjamin kesejahteraan penghidupan  pekerja. FOTO Arkib NSTP
ADALAH penting untuk memastikan nilai gaji minimum yang diberikan oleh pihak majikan kepada pekerja itu mampu menjamin kesejahteraan penghidupan pekerja. FOTO Arkib NSTP
Dr Nurul Ashikin Alias

Kadar penetapan gaji adalah antara isu utama yang menjadi agenda panas negara kerana isu ini akan mempengaruhi kesejahteraan penghidupan masyarakat secara keseluruhannya.

Penetapan kadar gaji minimum ini bagi memastikan pekerja menerima upah yang sesuai dengan beban kerja yang dilakukan selain mengelak eksploitasi ke atas pekerja oleh pihak majikan. Kadar gaji yang adil dan saksama membantu pekerja menjalani kehidupan yang baik.

Situasi ini sudah pastinya berbeza bagi golongan yang bekerja di bandar dan luar bandar disebabkan kos kehidupan di bandar adalah lebih tinggi berbanding kos kehidupan di luar bandar.

Jika dilihat kenaikan kos kehidupan semakin meningkat saban tahun dengan peningkatan harga barangan keperluan asas di pasaran. Namun, kita dapat lihat nilai kenaikan gaji minimum adalah tidak selari dengan kenaikan kos kehidupan masa kini. Perkara ini akan mempengaruhi kesejahteraan penghidupan asas masyarakat dalam memenuhi keperluan asas kehidupan secara langsung bertujuan memastikan kualiti kehidupan yang lestari.

Perintah Gaji Minimum di Malaysia dengan kadar gaji RM1,500 bermula pada Jun 2022. Pelaksanaan ini diperluaskan sehingga peringkat syarikat swasta bermula pada 1 Julai 2023 dan keadaan ini didapati mampu memberikan kelegaan kepada pekerja. Persoalannya adakah kadar gaji ini cukup untuk memberikan kehidupan yang sejahtera bagi golongan yang tinggal di bandar?

Berdasarkan laporan garis panduan Belanjawanku 2022/2023 oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, dapat dilihat ada peningkatan kos hidup dalam laporan tahun 2022/2023 berbanding 2019/2020.

Berdasarkan panduan Belanjawanku 2022/2023 yang diterbitkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, kos hidup untuk golongan bujang di Lembah Klang meningkat RM60 kepada RM1,930 berbanding RM1,870 dalam Belanjawanku 2019.

Jumlah kos sara hidup yang diperlukan bagi memenuhi keperluan penghidupan bagi 12 pusat bandar di Malaysia menunjukkan perbezaan ketara. Berdasarkan laporan itu, nilai minimum kos hidup bagi golongan bujang tanpa kenderaan untuk hidup selesa di bandar secara keseluruhannya adalah lebih tinggi daripada nilai gaji minimum yang ditetapkan pada masa kini. Nilai kos kehidupan golongan bujang tanpa kenderaan paling rendah adalah di Alor Setar dengan nilai RM 1,530.

Manakala, nilai kos kehidupan paling tinggi adalah Lembah Klang dengan nilai RM 1,930. Nilai kos sara hidup ini sudah pastinya adalah lebih tinggi bagi golongan berkeluarga dan mempunyai anak.

Kos perbelanjaan dalam kehidupan seseorang individu dan sesebuah keluarga adalah terbahagi kepada 10 iaitu makanan, tempat tinggal, pengangkutan, kesihatan, utiliti, simpanan peribadi, penjagaan peribadi, penglibatan sosial, simpanan kecemasan dan perbelanjaan mengikut budi bicara. Bagi individu yang berkeluarga dan mempunyai anak akan mempunyai perbelanjaan tambahan iaitu perbelanjaan bagi penjagaan bayi dan kanak-kanak. Perbelanjaan yang paling besar adalah tertumpu kepada perbelanjaan makanan diikuti oleh pengangkutan dan tempat tinggal.

Saban tahun kos perbelanjaan ini meningkat selari dengan peningkatan harga barangan keperluan asas di pasaran. Ditambah pula dengan kesan daripada peningkatan kadar inflasi yang berlaku setiap tahun. Peningkatan kadar inflasi ini akan menurunkan kekuatan kuasa membeli dalam kalangan pengguna. Dengan harga yang semakin meningkat, adalah mustahil untuk mempunyai kuasa pembelian dan barangan yang sama seperti sebelumnya. Kejatuhan nilai mata wang negara turut memberikan impak ke atas kenaikan nilai inflasi.

Maka, adalah penting untuk memastikan nilai gaji minimum yang diberikan oleh pihak majikan kepada pekerja itu mampu menjamin kesejahteraan penghidupan pekerja.

Ditambah pula dengan keadaan peningkatan kadar inflasi yang turut menjadi ancaman kepada kesejahteraan penghidupan masyarakat. Keadaan ini adalah penting kerana keadaan kesejahteraan penghidupan masyarakat yang terancam akan mendorong kepada pelbagai isu sosial lain seperti kesihatan, kekurangan nutrisi, gelandangan, jenayah dan lain-lain.

Perkara ini menunjukkan betapa pentingnya tindakan yang perlu diambil bagi memastikan kesejahteraan penghidupan sesebuah masyarakat kerana terdapat piawaian yang perlu dipenuhi bagi memastikan tahap kesejahteraan penghidupan sesebuah masyarakat itu dapat dicapai.

Penulis Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 7:01 AM