AirAsia turut tawar promosi untuk tempat duduk Premium Flatbed.
AirAsia turut tawar promosi untuk tempat duduk Premium Flatbed.

KUALA LUMPUR: AirAsia menawarkan 1.9 juta tempat duduk pada harga serendah RM19 untuk ahli BIG dengan tempoh tawaran bermula semalam hingga 20 Januari nanti untuk perjalanan segera hingga 31 Julai 2019.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Penerbangan) AirAsia Bo Lingam berkata, tambang promosi termasuk semua untuk ahli BIG hanya RM19 ditawarkan bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Johor, Kuantan dan Labuan, Kota Kinabalu ke Bintulu dan Sibu, Kuching ke Bintulu dan Miri serta Pulau Pinang ke Langkawi.

“Tambang berharga RM49 pula ditawarkan dari Kuala Lumpur ke Silangit-Danau Toba, Phuket dan Krabi manakala, RM69 dari Kuala Lumpur ke Padang dan Bandar Ho Chi Minh,” katanya.

Menurutnya, penerbangan AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Tianjin, Melbourne, Jeju, Amritsar dan Osaka juga ditawarkan untuk ahli BIG bermula dari RM319.

“Malah, kami turut menawarkan tempat duduk Premium Flatbed yang memenangi pelbagai anugerah dari Kuala Lumpur ke Bali, Taipei, Amritsar dan Jaipur dari hanya RM599,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, AirAsia menghentikan kutipan fi RM3 bagi semua pelepasan penerbangan dari terminal klia2 dalam usaha untuk mengekalkan kadar tambang udara yang rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, pihaknya menyatakan sejak awal lagi bahawa klia2 tidak sesuai untuk operasi penerbangan tambang rendah.

“Kami akan dapatkan terus semua kos tambahan daripada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB),” katanya.

Fi klia2 diperkenal pada Mei 2014 bagi menampung kos tambahan di lapangan terbang susulan penggunaan mandatori kemudahan yang dikenakan MAHB.

Ini termasuk jambatan udara dan SITA (pengurusan lapangan terbang) sistem pemeriksaan masuk dan menaiki pesawat berbanding Terminal Penerbangan Kos Rendah (LCCT) sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 6:15 AM