Syarifah Dayana Syed Bakri

Sepang: AirAsia Berhad (AirAsia) mendakwa masalah yang berlaku di terminal klia2 menjejaskan status yang pernah disandang sebelum ini iaitu Terminal Tambang Rendah Terbaik Dunia.

Ini kerana status berkenaan kini dimiliki Terminal Don Muang di Bangkok di mana AirAsia Thai dan AirAsiaX Thai beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, pihaknya terkilan dengan layanan diberikan pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) khususnya dalam aspek pembinaan terminal klia2.

“Kami seolah-olah dipinggirkan dan mereka tidak menghargai usaha kami yang berjaya membawa lebih 50 peratus jumlah penumpang ke terminal berkenaan.

“Malah, 98 peratus penerbangan dari terminal klia2 adalah kendalian AirAsia, namun kami tidak mendapat layanan yang adil,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya terpaksa meneruskan operasi di LCCT memandangkan pejabat AirAsia yang sepatutnya dibina berhampiran terminal klia2 masih belum siap sepenuhnya.

“Ia hanya akan siap pada Oktober nanti dan sementara itu kami perlu beroperasi di LCCT. Namun, MAHB tetap meneruskan kerja pembinaan sekitar terminal ini yang mana ia memberi kesan kurang selesa kepada kakitangan kami di sini,” katanya.

Menurutnya, walaupun persekitaran di LCCT ketika ini tidak kondusif namun pihaknya masih perlu membayar sewa pada harga sama sebagaimana sebelum ini iaitu sekitar RM260,000 sebulan.

“Kami tetap perlu membayar sewa yang sama walaupun keadaan di sini sangat tidak selesa. MAHB sedia maklum yang kami hanya boleh berpindah keluar menjelang Oktober nanti namun enggan berbuat apa-apa,” katanya.

Sementara itu, Aireen berkata, pihaknya tetap akan menggunakan nama LCCT2 berbanding klia2 untuk terminal tambang rendah berkenaan dan bersedia menanggung kos penjenamaan serta promosi untuk nama baru berkenaan.

“Kami tetap dengan pendirian untuk menggunakan nama LCCT2 kerana ia lebih sesuai untuk menggambarkan bahawa terminal berkenaan adalah untuk penerbangan tambang rendah, dan bukannya cerminan kepada terminal utama KLIA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 8:29 AM