ORANG ramai berbelanja di pasar raya NSK Grocer di 3 Damansara. FOTO Hairul Anuar Rahim
ORANG ramai berbelanja di pasar raya NSK Grocer di 3 Damansara. FOTO Hairul Anuar Rahim
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: NSK Grocer (KL) Sdn Bhd (NSK Grocer) membuka cawangan ketiganya di pusat beli-belah 3 Damansara, di sini, hari ini.

Pembukaan cawangan baru di dalam pusat beli-belah menjadikannya pasar raya terbesar di Petaling Jaya.

Pengarah NSK Grocer, Loh Teck Wah berkata, cawangan NSK Grocer ketiga itu menawarkan pelbagai barangan tempatan dan import yang paling besar di Petaling Jaya.

Menurutnya, pelanggan akan menemui pelbagai jenis barangan runcit, barangan rumah, hasil segar seperti sayur-sayuran dan makanan laut berkualiti dengan harga berpatutan.

"Di cawangan ini pelanggan akan menikmati pelbagai tawaran harian dan selepas ini kami akan menyediakan tempat makan dengan pelbagai menu tempatan.

"Pembukaan cawangan NSK Grocer di Petaling Jaya ini strategik kerana 3 Damansara terkenal sebagai pusat membeli-belah mesra keluarga pinggir bandar dengan populasi 500,000 penduduk," katanya kepada media pada majlis pembukaannya hari ini.

Teck Wah berkata, NSK Grocer berharap dapat diterima baik oleh komuniti yang menantikan pusat sehenti dan destinasi mudah untuk memenuhi keperluan harian mereka di 3 Damansara.

"Dengan pembukaan pasar raya terkini di pusat membeli-belah 3 Damansara bakal memberikan pengalaman baru kepada masyarakat Petaling Jaya," katanya.

Cawangan NSK Grocer di 3 Damansara dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 3:39 PM