PELANCARAN perkhidmatan logistik halal MASkargo.
PELANCARAN perkhidmatan logistik halal MASkargo.
Oleh Sofyan Rizal Ishak


MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) melancarkan perkhidmatan logistik halalnya selepas menerima Pensijilan Halal MS2400 daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) pada 1 Mei lalu.

Perkhidmatan terbabit menjadikan bahagian kargo Malaysia Airlines Bhd (MAB) itu sebagai syarikat logistik pertama di dunia yang menerima pengiktirafan halal bagi perkhidmatan logistiknya.

Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo, Ibrahim Mohamed Salleh berkata, perkhidmatan logistik halal terbabit diwujudkan untuk memenuhi keperluan industri halal bagi pengendalian kargo udara yang diyakini, selamat dan terjamin.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa lebih dua tahun bagi mendapatkan pensijilan dan akhirnya berjaya menerima pensijilan terbabit bagi perkhidmatan logistik halal di bawah aktiviti pergudangan.

“Nilai pasaran makanan halal global dijangka mencapai sebanyak AS$2.6 trilion (RM10.87 trilion) menjelang 2023 dan kami harap dapat memasuki pasaran ini bagi mencapai sasaran negara untuk mencapai eksport halal berjumlah RM50 bilion menjelang tahun depan,” katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan logistik halal MASkargo di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang menyempurnakan pelancaran acara terbabit.

MS2400 menetapkan syarat sistem pengurusan yang menjamin integriti halalan-toyyiban barangan dan/atau kargo dikendalikan menerusi pelbagai kaedah pengangkutan.

Beliau berkata, MASkargo kini berupaya untuk menyediakan logistik dengan mengekalkan integriti halal bagi penghantaran melalui rantaian makanan.

“Kami juga menyasarkan untuk mewujudkan kelebihan kompetitif untuk negara sebagai koridor halal utama yang akan meningkatkan rangkaian perdagangan berkaitan perniagaan halal di seluruh dunia,” katanya.

Ibrahim berkata MASkargo telah melabur kira-kira RM500,000 bagi perkhidmatan baharu itu yang menawarkan pergerakan, penyimpanan dan pengendalian bahan makanan dan bukan makanan secara bersih dan terjamin.

Selain memenuhi syarat ketat, MASkargo menawarkan kemudahan tambahan untuk memenuhi keperluan dalam memastikan pembahagian dan pemisahan antara penghantaran halal dan bukan halal.

Bersempena pelancaran itu, MASkargo juga menandatangani perjanjian dengan pelanggan pertamanya yang terdiri daripada Sejung Group, Korea, Nippon Express (Malaysia), Hab Halal Labuan dan Serunai Commerce.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 7:27 AM