DR Sirajuddin (tengah) pada sidang media Konvensyen Badan Pensijilan Halal Antarabangsa  Ke 8, 2017 semalam.
DR Sirajuddin (tengah) pada sidang media Konvensyen Badan Pensijilan Halal Antarabangsa Ke 8, 2017 semalam.

Putrajaya: Seramai 800 perwakilan dari dalam dan luar negara akan menghadiri Konvensyen Badan Pensijilan Halal Ke-8 yang diadakan selama dua hari di sebuah hotel di Sepang, Selangor pada 3 dan 4 April depan.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, konvensyen ini akan memberi tumpuan khusus kepada aspek teknikal sebagai usaha meningkatkan kemahiran badan pensijilan halal luar negara.

Menurutnya, selain konvensyen, JAKIM akan mengadakan Program Keupayaan Teknikal Halal Antarabangsa (IHTCPD) selepas mendapat permintaan dari badan persijilan halal yang diiktiraf JAKIM.

“IHTCPD diadakan bagi memenuhi permintaan yang diperlukan oleh juruaudit dan kemas kini teknikal pensijilan halal luar negara bagi melaksanakan piawaian sama untuk diguna pakai di seluruh dunia,” katanya pada sidang media Konvensyen Badan Pensijilan Halal Ke 8, 2017 di sini, semalam.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM Muhammad Naim Mohd Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif DagangHalal Berhad Ali Sabri Sani Abdullah.

Konvensyen ini antara lain bertujuan meningkatkan kefahaman badan pensijilan halal luar negara berhubung Sistem Standard Halal Malaysia di samping menjadi platform perkongsian maklumat dan pengalaman kepada badan yang baru diiktiraf.

Sehingga kini, JAKIM memberi pengiktirafan kepada 62 badan pensijilan halal luar negara dari 40 negara serta lima badan berautoriti dari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sirajuddin berkata, konvensyen ini turut dibuka kepada industri di negara ini membabitkan penyertaan agensi strategik halal JAKIM bagi berkongsi idea dalam melaksanakan persijilan halal dalam industri mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 5:08 AM