PROTON dianggap sebagai  syarikat automotif dengan keupayaan teknologi dan tenaga kerja, berpengalaman serta berkemahiran tinggi.
PROTON dianggap sebagai syarikat automotif dengan keupayaan teknologi dan tenaga kerja, berpengalaman serta berkemahiran tinggi.
Mohd Razlan Salleh

Subang Jaya: Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) optimis mampu kembali menguasai pasaran kenderaan di negara ini seperti yang pernah dinikmati pengeluar kenderaan nasional itu pada sekitar 1990-an.

Itulah visi terbaru Naib Presiden (Pembuatan) Proton, Yoshiya Inamori, selepas dilantik menerajui sektor operasi pengeluaran, kira-kira dua bulan lalu.

“Ketika pertama kali menjejakkan kaki di Proton kira-kira 23 tahun lalu, saya mendapati syarikat kenderaan ini menguasai hampir 70 peratus pasaran tempatan.

“Tetapi kini, Proton hanya menguasai sekitar 20 peratus pasaran saja,” katanya ketika Temubual Bersama Media di Centre of Excellence (CoE) Proton, semalam.

Yoshiya berkata, Proton sebenarnya adalah syarikat automotif yang ‘matang’ dengan keupayaan teknologi dan tenaga kerja yang besar, berpengalaman serta berkemahiran tinggi.

“Saya menetapkan tempoh tiga tahun untuk memulihkan kembali syarikat automotif nasional ini dan tidak mustahil kembali menerajui pasaran.

“Kakitangan adalah aset penting bagi sebuah syarikat berdaya saing,” katanya yang mengakui Proton memiliki hampir 6,000 tenaga kerja termasuk di Kilang Proton di Proton City, Tanjung Malim, Perak.

YOSHIYA Inamori
YOSHIYA Inamori

Menurut bekas Naib Presiden PCMA Rus (sebuah syarikat kerjasama Peugeot dan Mitsubishi Motors Corporation) di Russia ini, sebenarnya sistem pengeluaran kenderaan Proton dengan Mitsubishi adalah hampir sama.

“Malah standard industri automotif Jepun juga tidak jauh berbeza dengan apa yang diamalkan di sini (Proton).

“Namun diakui ada beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi mengurangkan kos operasi,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu menjadi lebih mudah apabila Proton kini mendapat suntikan dana dan kepakaran daripada Geely yang secara tidak langsung mempercepatkan tempoh pemulihan semula.

“Saya juga sudah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) terhadap pekerja dalam usaha meningkatkan kualiti pembuatan selain mengawal kos operasi.

“Tidak dinafikan persepsi orang ramai terhadap kualiti kenderaan Proton dianggap ‘buruk’ perlu segera diubah dengan cara lebih efektif membabitkan pekerja dan produk. Ini bukan perkara mudah, tetapi saya yakin mampu mencapainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 7:47 AM