Lizam Ridzuan


SELEPAS 35 tahun berdepan pelbagai cabaran dan rintangan, jenama Proton terus kekal relevan dalam industri automotif tempatan.

Selepas Perbadanan Industri Berat Malaysia Berhad (Hicom) menjalin usaha sama bersama Mitsubishi pada 1983 untuk mengeluarkan kereta pertama Malaysia, mereka terus mengorak langkah dengan pelbagai model dan enjin diperkenalkan sehingga hari ini.

Vroom baru-baru ini berkesempatan bertemu Pengarah Kanan Strategi Korporat Proton, Yusri Yusuf dan Pakar Teknikal Kanan, Trenkuasa, Mohamad Fozi Abdul Hamid untuk mengetahui cabaran lalu, misi dan visi jenama ini.

 MAJLIS pelancaran Proton Saga pada 1985.
MAJLIS pelancaran Proton Saga pada 1985.

Yusri yang menyertai Proton pada 1994 banyak terbabit dengan projek pembangunan awal Proton dan menyaksikan perkembangan pesat Proton sejak itu.

"Bermula dengan model Proton Iswara dan Wira, kami diberi suntikan operasi daripada tiga peringkat iaitu pengeluaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta jualan.

"Kami diberi peluang mewujudkan ekosistem dalam industri untuk perkembangan pasaran dan eksport serantau.

KILANG pemasangan Proton di Shah Alam.
KILANG pemasangan Proton di Shah Alam.

"Melaluinya, Proton dapat membina keyakinan dalam kalangan pelanggan selain tambah berpengalaman dalam industri," katanya.

Pada 1996, Proton mula menghasilkan model sendiri melalui 'Projek GX'.

Empat tahun kemudian, lahirlah Proton Waja.

Ia adalah model pertama yang dibangunkan sendiri oleh Proton yang menjadi pencetus kepada perkembangan jenama itu seperti yang dapat dilihat pada hari ini.

Selepas berjaya menghasilkan platform dan rekaan, Proton terus mengorak langkah dengan pembangunan enjin sendiri iaitu Campro pada 2004.

GEN-2 model pertama menggunakan enjin Campro.
GEN-2 model pertama menggunakan enjin Campro.

Ia mula dipasang pada model Gen-2 sebagai model gantian kepada Wira.

Terdapat pelbagai maklum balas berkaitan enjin ini, namun ia juga memberi pengalaman baharu kepada Proton dalam memenuhi keperluan dan kesesuaian dalam pasaran.

"Tidak dinafikan enjin pertama ini memiliki kelebihan dan kekurangan tersendiri, namun kami banyak menambah baik terutama dalam memenuhi keperluan pengguna yang semakin dinamik," katanya.

Usaha tidak terhenti setakat itu apabila ada beberapa model baharu yang diperkenalkan sama ada melalui kerjasama strategik atau yang dilakukan sendiri.

WAJA model pertama dibangunkan sendiri oleh Proton.
WAJA model pertama dibangunkan sendiri oleh Proton.

Banyak perancangan yang dilakukan sepanjang tempoh itu sehingga kini dan terbaharu, melalui fasa kerjasama dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) sebagai usaha mengembalikan keyakinan pengguna terutama dengan pengenalan kenderaan utiliti sukan (SUV) X70.

Perjalanan Proton turut dikongsi Fozi yang juga antara pekerja generasi pertama sejak penghasilan model Saga pada 1985.

Pelbagai cabaran ditempuhi dalam merealisasikan penghasilan kereta nasional ini dan antara yang masih kekal dalam ingatan ialah ketika penghasilan model Saga.

PASUKAN rali PERT menggunakan Saga.
PASUKAN rali PERT menggunakan Saga.

"Saga dihasilkan bagi disesuaikan dengan keperluan rakyat Malaysia ketika itu yang diasaskan daripada model Mitsubishi dengan enjin Orion 1.3 liter.

"Meskipun terdapat pro dan kontra berkaitan model ini daripada orang ramai, ia berjaya dihasilkan malah masih banyak di jalan raya sehingga hari ini.

"Saya bangga dapat menjadi sebahagian daripada warga Proton yang mengeluarkan model Saga. Model Saga ini banyak mengubah landskap industri automotif Malaysia," katanya yang bersara baru-baru ini.

Yusri
Yusri

Fozi juga terbabit secara langsung dalam pembangunan awal enjin Campro dan menyertai latihan di Lotus Engineering di United Kingdom.

Katanya, penghasilan enjin baharu bukan mudah dilakukan kerana ia membabitkan banyak aspek selain perlu diimbangi seperti dengan prestasi dan penggunaan bahan api.

Fozi berkata, dia turut sama menempuh zaman turun naik Proton, namun yakin Proton akan terus menjadi syarikat pengeluar kereta terkemuka serantau serta global.

"Jika semua pihak bersikap positif dan komited dalam menjayakan segala usaha yang pernah kami lakukan sejak 1985, ia pasti akan berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 6:31 AM