GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nazura Ngah


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepemimpinannya akan terus membantu memulihkan dan memajukan PROTON bagi memastikan syarikat pengeluar kereta nasional itu menempa nama di persada dunia.

Najib berkata, komitmen kerajaan dalam perkara itu sangat jelas dalam memastikan PROTON dan Tanjung Malim yang menempatkan Proton City menempa zaman yang lebih cemerlang dan gemilang.

Beliau berkata, kerajaan sudah mengkaji sejarah PROTON tanpa perasaan dan emosi yang sempit dan menyedari bahawa masalah yang menimpa syarikat itu disebabkan model ekonomi yang berpaksikan kepada semangat nasionalisme, bukannya global.

"Terlalu banyak campur tangan politik dalam pentadbiran PROTON. Kita tidak akan membiarkan PROTON tenggelam, tidak akan membiarkan PROTON lenyap. PROTON memerlukan sokongan kerajaan untuk dipulihkan dan kerajaan pimpinan saya dan BN akan memulihkan semula PROTON.

"Sebab itulah, kalau ada orang kata kita tak tolong PROTON, itu adalah pendustaaan. Kita bagi pinjaman , kita bagi suntikan modal, kita bagi insentif dan kita syaratkan bahawa kalau PROTON hendak maju, kena ada rakan strategik startegik, kita tidak kira siapa, kita tak arah PROTON pilih dari mana-mana negara atau syarikat. Kita cuma kata ini ia akan diputuskan PROTON dan DRB-HICOM yang kemudiannya memilih Geely," katanya.

NAJIB menyampaikan ucapan pada Pelancaran Kluster Automotif Nasional di Proton City. FOTO Bernama
NAJIB menyampaikan ucapan pada Pelancaran Kluster Automotif Nasional di Proton City. FOTO Bernama

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kluster Automotif Nasional di Kompleks Sukan Proton, Proton City di Tanjung Malim, hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Kluster Automotif Nasional adalah satu hab automotif yang akan diaktifkan semula.

Pelan pembangunan itu merangkumi pembangunan Bandar Belia 1Malaysia, rancangan Edu City, hab automotif berteknologi tinggi merangkumi teknologi kereta elektrik, teknologi hijau, teknologi bateri kereta terkini, teknologi industri 4.0 dan ‘artificial intelligence’, pemasangan kereta berjenama global dan pengeluaran kereta untuk pasaran eksport.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 12:10 PM