Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pengeluar kereta nasional Proton, memperkenalkan barisan pemasangan enjin baharu yang berteknologi tinggi di Tanjung Malim meliputi kawasan seluas 18,000 meter persegi dan mempunyai kapasiti maksimum semasa sebanyak 180,000 unit.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, beroperasi sejak April lalu, kemudahan itu menghasilkan enjin 1.5 TGDI (Turbo Gasoline Direct Injection) yang juga kali pertama ia dipasang di luar China dan menjadi satu barisan pemasangan enjin automotif tercanggih di negara ini.

"Barisan pemasangan enjin baharu Proton itu menunjukkan bahawa syarikat mengotakan janjinya kepada pihak berkepentingannya.

"Apabila perjanjian dibuat untuk bekerjasama dengan Geely pada 2017, antara komitmen kami adalah untuk melabur dalam industri automotif Malaysia dari segi kewangan dan melalui pengenalan komponen baharu berteknologi tinggi.

"Barisan pemasangan baharu ini memenuhi syarat ini di samping memberi laluan kepada Proton untuk menarik dan membangunkan bakat muda yang akan membantu memacu industri automotif dan syarikat di masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

KAKITANGAN Proton memasang alat kenderaan.
KAKITANGAN Proton memasang alat kenderaan.

Projek itu juga sebahagian daripada RM1.8 bilion yang diperuntukkan oleh Proton untuk menaik taraf kemudahan di Tanjung Malim.

Menurutnya, kualiti adalah keutamaan barisan pemasangan enjin baharu Proton dan pihaknya perlu menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa Proton mampu membina produk berkualiti tinggi yang boleh dipercayai.

"Selain daripada langkah pemantauan kualiti yang digunakan pada barisan pemasangan, kami juga bekerja rapat dengan rakan sejawatan kami di Geely untuk menyelesaikan masalah dan berkongsi amalan terbaik dalam usaha kami untuk menghasilkan enjin bertaraf dunia," katanya.

Perkongsian teknologi Geely dengan vendor dan bakat Malaysia, enjin tiga silinder 1.5 TGDI dan variannya setakat ini digunakan dalam lebih 750,000 kenderaan yang dijual di seluruh dunia.

Menggunakan penyelesaian seperti pengecilan saiz enjin, sistem termal dan pelinciran yang dioptimumkan, pengecas turbo inersia rendah dan GDI yang dihomogenkan, prestasi pasangan enjin dengan penggunaan bahan api dan pelepasan yang berkurangan memenuhi syarat Euro 6.

Sebagai produk pemasangan tempatan, Proton mendapatkan alat ganti daripada pembekal Malaysia dan serantau dan untuk enjin baharunya, kini terdapat 72 alat ganti yang dibekalkan oleh 19 vendor Malaysia dan empat vendor Asean.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 5:51 PM