TENGKU Zafrul (dua kiri) bergambar ketika Majlis Pelancaran Proton S70 di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
TENGKU Zafrul (dua kiri) bergambar ketika Majlis Pelancaran Proton S70 di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohd Zaky Zainuddin


Kuala Lumpur: "Proton Satria adalah kereta pertama saya selepas tamat belajar pada 1997," dedah Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Saya fikir ramai antara kita berjiwa vintage dan memiliki kenangan indah semasa memandu kereta Proton.

"Kereta pertama saya ialah Proton Satria, yang saya beli pada 1997. Ia berfungsi dengan baik semasa saya bekerja di sebuah bank," katanya pada majlis pelancaran Proton S70 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Pengerusi Proton Holdings Bhd (Proton), Tan Sri Syed Faisal Albar; dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

Tengku Zafrul berkata, sebagai kereta nasional pertama negara, jenama Proton berkembang dengan membanggakan sejak model pertama dilancarkan pada Julai 1985.

"Ketika Proton melancarkan model pertama, saya baru berusia 12 tahun.

"Jadi, pelancaran S70 hari ini adalah tepat pada masanya untuk Proton Holdings Bhd (Proton) kembali ke segmen pasaran ini selepas kejayaan model kenderaan utiliti sukan (SUV) mereka.

"Saya juga gembira untuk menyatakan Proton kekal sebagai jenama automotif kedua paling popular di Malaysia, selain turut berada pada landasan mencapai sasaran untuk pertumbuhan tahun kelima berturut-turut," katanya.

Beliau menjelaskan, seperti mana kembalinya Proton ke pasaran sedan menerusi pelancaran Proton S70, syarikat itu juga bersedia untuk kembali ke lebih banyak pasaran automotif di rantau ASEAN dan pasaran lain.

"Pasaran antarabangsa ini telah berkembang dalam kecanggihan pengguna dan keperluan perundangan, tetapi daripada apa yang saya lihat mengenai rancangan model semasa dan masa depan Proton, saya yakin mereka sudah bersedia untuk menghadapi cabaran itu.

"Saya juga telah mengambil maklum bahawa Proton menjadi antara pengeksport utama kenderaan Malaysia. Walaupun bilangannya agak kecil, cabaran MITI kepada Proton, bolehkah kita melihat perkembangan pesat di belakang pengenalan model baharu seperti Proton S70?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 11:53 PM