LITAR Pasir Gudang bakal memberi sinar baharu kepada sukan permotoran di Johor. FOTO FB Darul Takzim FC &  Johor FA
LITAR Pasir Gudang bakal memberi sinar baharu kepada sukan permotoran di Johor. FOTO FB Darul Takzim FC & Johor FA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus melangkah maju ke depan dalam pelbagai sukan dan terbaharu, difahamkan mereka bakal membangunkan sebuah litar permotoran yang bakal menjadi fasiliti terbaik di negara ini.

Melalui perkongsian daripada Darul Takzim FC & Johor FA, ia menunjukkan sekeping gambar tertera 'Johor Circuit' di Litar Pasir Gudang, sekali gus bakal menjadi gelanggang rasmi buat pasukan permotoran JDT.

JDT Racing Team ketika ini dalam fasa persiapan untuk menghadapi Kejuaraan Asia Road Racing Championship (AARC) 2024 yang akan membuka pusingan pertama di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada 15 Mac hingga 17 Mac ini.

"Litar Pasir Gudang berwajah baru. Litar Pasir Gudang bakal dinaiktaraf semula dan bakal dijadikan sebagai Akademi JDT Racing Team," menurut perkongsian Facebook rasmi Darul Takzim FC & Johor FA.

Jika litar itu mampu siap awal, sudah pasti ia akan membantu pasukan JDT Racing Team terutama Hafizh Syahrin Abdullah meningkatkan prestasi ke tahap lebih baik.

Meninjau ruangan komen, rata-rata warganet menyambut baik usaha itu dan mereka yakin litar itu akan membawa perkembangan positif buat sukan permotoran.

"Alhamdulillah. Lama juga tunggu apa perkembangan terkini litar permotoran Pasir Gudang Johor. Mari-mari peminat permotoran datang ke litar permotoran Pasir Gudang sudah berwajah baru," kata Azharomar.

"Terbaik. Litar Pasir Gudang tak lama lagi akan mengaum. Sukan permotoran yang akan bangun semula," kata Fadzil Rahim.

Terdahulu, pelumba pasukan Triple Eight Motorsports Racing (JMR), Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri menyatakan Litar Pasir Gudang itu kemungkinan besar akan kembali dimeriahkan selepas ditutup hampir 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 7:13 PM