PELUMBA pasukan TKKR Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman (tengah) ketika perlumbaan ARRC di Litar Antarabangsa Chang, hujung minggu lalu. FOTO FB AZLAN SHAH KAMARUZAMAN
PELUMBA pasukan TKKR Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman (tengah) ketika perlumbaan ARRC di Litar Antarabangsa Chang, hujung minggu lalu. FOTO FB AZLAN SHAH KAMARUZAMAN
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: "Tolonglah, tolonglah jangan lagakan rider (pelumba Malaysia), kita bawa satu bendera ingat itu, kita bawah satu bendera. Ok guys."

Itu antara luahan pelumba motosikal negara dari pasukan TKKR Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman memohon agar peminat sukan permotoran itu tidak menjadi 'batu api' kepada pelumba Malaysia.

Bagi Azlan, tanpa mengira siapa pelumba itu dan pasukan mana diwakili, peminat harus bersatu hati memberi sokongan penuh kerana sudah pasti semuanya ingin memberikan yang terbaik demi negara dan mengibarkan Jalur Gemilang di atas podium.

"Guys nak bagi pesanan penaja sikit, kita ini bersukan secara bersih dan aman, tiada benci , tiada apa masalah. Dalam trek (litar perlumbaan) kita lawan, luar trek kita kawan.

"Jadi kepada penyokong Malaysia, tolonglah, tolonglah jangan lagakan rider (pelumba Malaysia) ini, kita bawa satu bendera ingat itu, kita bawah satu bendera. Ok guys," katanya menerusi platform Tiktok rasmi miliknya.

Melihat ruangan komen, ramai warganet bersetuju dengan pendapat Azlan untuk terus menyokong semua pelumba Malaysia.

"Kesian abang Lan (Azlan) dengan budak-budak motor lain. Dulu santai je, la ni asyik kena bantai, semua sabar ye. Inshaallah Malaysia boleh," kata Zack185.

"Rider Malaysia dalam ARRC (Kejuaraan Motosikal Asia) semua padu-padu, saya sokong anda semua, semoga anda semua berjaya mendapat podium selalu," kata Farhisnatty.

"Betul, dalam track lawan, luar kita kawan gang. Kita bagi semangat kepada semua pelumba Malaysia. Bersaing secara sihat," kata Castello.

Terdahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengorak langkah dalam sukan permotoran selepas Hafizh Syahrin Abdullah menghadiahkan podium pertama untuk JDT Racing Team di saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Sirkit Antarabangsa Chang, hujung minggu lalu.

Hafizh menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam kelas ASB1000 manakala Azlan memenangi tempat pertama dalam perlumbaan sama pada Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 5:57 PM