MOKHZANI rasa pasukan itu dibentuk untuk jadi pemenang. FOTO Ihsan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia
MOKHZANI rasa pasukan itu dibentuk untuk jadi pemenang. FOTO Ihsan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir tidak menolak kemungkinan pendatang baharu, Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team mampu menjadi kuasa besar dalam dunia permotoran selepas ini.

Jelasnya, meskipun pasukan itu baharu dibentuk namun beliau yakin pasukan dari selatan tanah air itu boleh menghadirkan sesuatu.

"Peluang (JDT Racing Team) jadi jaguh dalam masa terdekat itu ada. Saya rasa pasukan itu dibentuk untuk jadi pemenang (di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024," katanya selepas sesi makan tengah hari bersama media, hari ini.

Untuk rekod, selepas mencipta pelbagai kejayaan dalam bola sepak sama ada peringkat tempatan mahupun Asia, JDT memulakan sesuatu yang baharu iaitu menyertai sukan permotoran ARRC musim ini.

Bagi memastikan hasrat itu tercapai, mereka mempertaruhkan pelumba berpengalaman, Hafizh Syahrin Abdullah. Selain bola sepak, JDT turut menceburi sukan lain seperti futsal, polo, tinju dan hoki ais.

Pada masa sama, bagi memastikan keselamatan pelumba terus berada di tahap terbaik, MAM akan memperkenalkan satu garis panduan dalam acara sukan permotoran dan perlumbaan drag termasuk mengadakan kerjasama dengan pihak berwajib seperti Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan negeri dan beberapa pihak lagi.

Terdahulu akhbar ini melaporkan biarpun masih baharu dalam arena permotoran tetapi JDT terus memasang hasrat untuk melangkah lebih jauh dalam sukan permotoran dan meletakkan sasaran berlumba di Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) selepas ini.

Nama Hafizh Syahrin bukan asing lagi dalam dunia permotoran apabila pernah membuat kemunculan dalam perlumbaan di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada tahun 2018 dan 2019 bersama jentera Yamaha serta KTM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 6:24 PM