PEREZ raih petak utama selepas 215 percubaan. -FOTO Reuters
PEREZ raih petak utama selepas 215 percubaan. -FOTO Reuters
AFP

Jeddah, Saudi Arabia: Sergio Perez meraih petak utama yang pertama selepas 215 percubaan apabila pelumba Sepanyol itu mengatasi rakan pasukan Red Bull yang juga juara dunia Max Verstappen pada sesi kelayakan Grand Prix Arab Saudi.

Pelumba Ferrari, Charles Leclerc menyertai Perez di petak hadapan dengan Verstappen berada di barisan kedua selepas mencatatkan masa keempat terpantas di belakang Carlos Sainz dari Ferrari.

Bagaimanapun sesi kelayakan semalam dibayangi dengan kemalangan ngeri yang dialami Mick Schumacher yang menyebabkan dia terkeluar daripada perlumbaan dan penyingkiran Lewis Hamilton ketika sesi kelayakan Q1 buat kali pertama sejak 2017.

"Saya terpaksa mengharungi beberapa perlumbaan! Tetapi ia pusingan yang luar biasa, sukar dipercayai," kata Perez, pemandu Mexico pertama meraih petak utama Formula Satu (F1).

Verstappen menyifatkan pusingan pertamanya di Q3 sebagai 'mengerikan' dan berkata: "Saya tidak begitu selesa. Checo melakukan kerja yang sangat baik dan saya gembira untuknya."

Sementara itu ketika Q2, Schumacher dikejarkan ke hospital selepas keretanya terbabas dan melanggar penghadang litar jalan raya Jeddah.

Anak kepada legenda F1 Jerman Michael Schumacher itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan namun dia tidak akan berlumba hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 11:09 AM