PEREZ idam kejuaraan di Jeddah. FOTO AP
PEREZ idam kejuaraan di Jeddah. FOTO AP
Reuters

Jeddah: Red Bull akan bermula sebagai pasukan pilihan sekali lagi di Arab Saudi Ahadi ini tetapi Sergio Perez berharap dapat mengekang rakan sepasukannya yang juga juara Formula Satu (F1) berganda, Max Verstappen.

Pelumba Mexico itu bermula dari petak pertama tahun lalu di Litar Corniche Jeddah dan perlumbaan malam yang diterangi lampu limpah kelihatan terkawal sehingga dia melakukan hentian pit sebelum kereta keselamatan masuk sekali gus memusnahkan peluangnya.

Perez adalah naib juara kepada Verstappen dalam perlumbaan pembukaan musim di Bahrain 5 Mac lalu dengan beberapa pihak meramalkan Red Bull boleh memenangi semua 23 perlumbaan tahun ini.

Ahad ini akan memberikan satu lagi petunjuk betapa besarnya kelebihan yang mereka nikmati, dan sama ada Perez boleh menjadi sesuatu yang lebih daripada sekadar pelumba sokongan kepada rakan sepasukannya.

"Ia akan menjadi sangat menarik untuk melihat bagaimana semua orang beraksi di Jeddah minggu ini, ia adalah litar yang sangat berbeza dengan Bahrain," kata Perez.

"Saya sangat tidak bernasib baik tahun lalu dengan apabila kereta keselamatan masuk semasa mengetuai perlumbaan jadi mudah-mudahan kali ini giliran saya untuk menang."

Sementara itu, pemandu Ferrari, Charles Leclerc semalam dikenakan penalti 10 kedudukan petak permulaan bagi aksi hujung minggu ini.

Keputusan itu diambil oleh Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA) selepas Ferrari terpaksa menukar unit kuasa mereka sebanyak dua kali pada jentera Leclerc ketika saingan pembuka tirai di Bahrain.

Ferrari kemudian menggunakan unit kuasa ketiga bagi perlumbaan di Arab Saudi yang melanggar peraturan dengan hanya dua perubahan dibenarkan dalam keseluruhan musim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 12:17 PM