HAMILTON bersama trofi kemenangan.
HAMILTON bersama trofi kemenangan.
AFP

Jeddah, Arab Saudi Arabia: Lewis Hamilton terus menghidupkan peluang untuk memburu gelaran dunia kelapan selepas meraih kemenangan mendebarkan dan dramatik di Grand Prix Arab Saudi.

Keputusan itu membolehkan juara tujuh kali itu menyamai 369.5 mata dengan pencabar kejuaraan Max Verstappen menjelang perlumbaan terakhir di Abu Dhabi minggu depan.

Hamilton berada di belakang Verstappen hampir sepanjang perlumbaan 50 pusingan yang dihentikan dua kali akibat perlanggaran dan beberapa kali terganggu oleh kereta keselamatan.

Tetapi Hamilton yang sayap depan jenteranya rosak selepas berlanggar dengan Verstappen bangkit lewat untuk meraih kemenangan kelapan musim ini dan ke-103 dalam kariernya. .

Kejuaraan akan disahkan di Abu Dhabi dan jika kedua-duanya gagal mendapat mata, Verstappen yang menang sembilan perlumbaan akan dinobatkan juara musim ini.

"Saya telah lama berlumba tetapi kali ini memang sangat sukar," kata Hamilton yang mendapat mata tambahan susulan mencatat masa pusingan terpantas.

Verstappen menduduki tempat kedua, 11.825 saat di belakang walaupun dikenakan penalti lima saat selepas berlanggar dengan bintang Mercedes itu.

Dia kemudiannya dikenakan penalti 10 saat lagi namun tidak memberikan impak kepada kedudukannya.

"Hanya perlu berlumba dan sukan ini lebih mengenai penalti daripada perlumbaan," kata Verstappen.

"Bagi saya ini bukan Formula 1 tetapi sekurang-kurangnya penonton gembira dan saya memberikan segalanya hari ini tetapi tidak cukup pantas."

Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas memintas pelumba Alpine, Esteban Ocon untuk menduduki tempat ketiga sekali gus memberikan Mercedes kelebihan 28 mata selaku pendahulu carta kejuaraan pengeluar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 9:00 AM