LECLERC raih petak pertama yang ke-10 dalam kariernya. -FOTO EPA
LECLERC raih petak pertama yang ke-10 dalam kariernya. -FOTO EPA
AFP

Sakhir, Bahrain: Charles Leclerc berjaya meraih kedudukan petak utama menjelang aksi pembukaan Grand Prix Bahrain ketika juara dunia Max Verstappen terpaksa berpuas hati di tempat kedua pada sesi kelayakan.

Leclerc melakarkan 0.123 saat (s) berbanding pelumba Red Bull Verstappen manakala Carlos Sainz akan bermula di petak ketiga buat Ferrari.

"Rasa yang cukup bagus. Dua tahun kebelakangan ini amat sukar buat pasukan," kata Leclerc yang merangkul petak pertama yang ke-10 dalam karier Formula Satu (F1).

"Saya rasa kami sudah bekerja dengan sangat baik sebagai satu pasukan dan kami sangat gembira dengan keputusan hari ini.

"Saya tidak berapa gembira dengan cara pemanduan saya tapi berjaya untuk melakukannya ketika sesi kelayakan ketiga dan kami akan bermula di petak utama jadi saya sangat gembira."

Sementara itu Sergio Perez akan bermula di petak keempat buat Red Bull di hadapan Lewis Hamilton kelima.

Juara dunia tujuh kali itu ketinggalan 0.680s bersama jentera Mercedes.

Manakala Valtteri Bottas berkedudukan tempat keenam pada sesi kelayakan pertamanya untuk Alfa Romeo sejak meninggalkan Mercedes musim lalu.

Kevin Magnussen kembali bersama Haas menggantikan pelumba Rusia Nikita Mazepin pula di kedudukan ketujuh di hadapan Fernando Alonso yang memacu jentera Alpine.

Rakan sepasukan baru Hamilton, George Russell mencatatkan masa kesembilan terpantas manakala Pierre Gasly dari Alpha Tauri melengkapkan kedudukan 10 pelumba terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 10:16 AM