Reaksi pelumba F1 Mercedes, Lewis Hamilton apabila berjaya menduduki petak utama selepas sesi kelayakan di GP British dekat litar Silverstone, Britain. FOTO Agensi
Reaksi pelumba F1 Mercedes, Lewis Hamilton apabila berjaya menduduki petak utama selepas sesi kelayakan di GP British dekat litar Silverstone, Britain. FOTO Agensi
AFP

Silverstone, United Kingdom: Juara dunia, Lewis Hamilton mengatasi pencabar kejuaraan Max Verstappen pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) British untuk menduduki petak utama acara pecut yang julung kali diadakan.

Hamilton mencatat satu minit 6.134 saat bersama jentera Mercedes untuk menewaskan pelumba Red Bull, Verstappen yang juga pendahulu kejuaraan dengan Valtteri Bottas pemandu kedua Mercedes di kedudukan ketiga terpantas.

Sesi kelayakan F1 yang kali pertama diadakan pada hari Jumaat itu disaksikan 90,000 penonton.

Acara pecut yang julung kali diadakan hari ini, yang pertama daripada tiga dijadualkan musim ini, meliputi perlumbaan sejauh 100 kilometer dan akan menentukan kedudukan petak untuk perlumbaan utama esok.

"Kami merindui detik ini sepanjang tahun," kata Hamilton berkenaan kehadiran penonton itu.

Juara dunia tujuh kali itu berada di kampung halamannya dengan ketinggalan 32 mata di belakang Verstappen bagi saingan perebutan kejuaraan.

Verstappen yang hanya ketinggalan 0.075 saat memenangi tiga daripada perlumbaan sebelum ini.

"Red Bull begitu pantas dalam sesi latihan tetapi kami kekal fokus dengan kerja kami dan berusaha untuk bersaing," tambah Hamilton.

"Saya dapat melihat penonton dan ia mengingatkan saya pada kejayaan sulung di petak utama pada 2007."

Hamilton kini memburu kemenangan kelapan di laman sendiri dan yang ke-99 dalam kariernya.

Pelumba Ferrari, Charles Leclerc dan Sergio Perez turut mengisi kelompok lima teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 8:16 AM