SINNER bersama trofi kejuaraan selepas menewaskan Hurkacz. FOTO Reuters
SINNER bersama trofi kejuaraan selepas menewaskan Hurkacz. FOTO Reuters
Agensi

Halle: Jannik Sinner meraih gelaran pertama sebagai pemain nombor satu dunia dengan kemenangan ke atas Hubert Hurkacz di Terbuka Halle, semalam.

Pemain dari Itali itu memenangi gelaran Grand Slam pertamanya di Terbuka Australia pada Januari dan merampas takhta Novak Djokovic di puncak ranking dunia pada awal Jun.

Dia memastikan gelaran pertama di gelanggang rumput dengan kemenangan 7-6 (10-8), 7-6 (7-2) menentang pemain Poland, Hurkacz yang juga pasangannya dalam acara beregu di Jerman.

Sinner hanya tewas tiga perlawanan musim ini iaitu dua kali kepada Carlos Alcaraz di Terbuka Perancis dan Indian Wells serta tewas di tangan Stefanos Tsitsipas di Monte Carlo.

Dia bakal menjadi pemain pilihan utama di Wimbledon yang bermula pada 1 Julai, dengan harapan untuk melangkah lebih jauh daripada pencapaian separuh akhirnya tahun lalu.

"Saya sangat menantikan Wimbledon. Tahun lepas saya mara ke separuh akhir. Saya bermain dengan baik, jadi mari kita lihat apa yang akan datang tahun ini.

"Saya lebih yakin sekarang. Sudah tentu gelanggang rumput mungkin sedikit berbeza dari sini dan Wimbledon. Tetapi saya mempunyai satu minggu sekarang untuk bersiap, jadi semoga ia akan menjadi kejohanan yang baik," kata Sinner.

Namun tidak semuanya berita baik buat Sinner selepas teman wanitanya Anna Kalinskaya tewas 6-7(0), 6-4, 7-6(3) di tangan Jessica Pegula pada aksi final di Berlin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 12:45 PM