DJOKOVIC di landasan tepat buru ‘Golden Slam’.
DJOKOVIC di landasan tepat buru ‘Golden Slam’.
AFP

Melbourne: Pemain nombor satu dunia Novak Djokovic bergelut pada set ketiga menentang pemain remaja Perancis Quentin Halys sebelum mengesahkan tiket ke pusingan ketiga Terbuka Australia, semalam.

Pemenang 10 gelaran Grand Slam dan juara bertahan itu mengalahkan Halys yang menduduki ranking ke-187 dunia 6-1, 6-2, 7-6 (7/3) dalam tempoh satu jam 40 minit di Arena Rod Laver.

Pada awal permainan, pilihan utama dari Serbia itu dilihat tidak berdepan masalah dan menang mudah di dua set awal dalam tempoh 56 minit.

Pada set ketiga, Djokovic kelihatan sedia untuk menamatkan perlawanan sebelum Halys berjaya mematahkan servis pemain paling berpengaruh itu.

Djokovic cuba mengimbangi permainannya tetapi Halys, 19, semakin agresif hingga memaksa bintang Serbia itu berhempas-pulas menang aksi tiebreak.

“Quentin masih baru dalam jelajah, tapi hari ini permainannya tidak menggambarkan dia belum lagi setahun di sini,” kata Djokovic.

“Dia mempamerkan permainan yang menarik dan saya perlu mengucapkan tahniah kepadanya kerana berjaya memberikan tentangan terutamanya pada set ketiga.”

Kemenangan itu membolehkan Djokovic bertemu bintang Itali Andreas Seppi pada pusingan ketiga selepas pemain itu mengatasi Roger Federer di peringkat sama tahun lalu.

Sementara itu, juara Wimbledon dua kali, Petra Kvitova tersingkir daripada saingan Terbuka Australia semalam selepas dikejutkan pemain tempatan Daria Gavrilova sekali gus menjadi pemain ketiga dalam kelompok 10 teratas yang kecundang awal di Melbourne.

Pilihan keenam dari Czech itu gagal menyaingi Daria yang melangkah ke pusingan ketiga selepas menang 6-4, 6-4 di Arena Margaret Court.

Petra senasib dengan pilihan kedua Simona Halep serta pilihan kelapan Venus Williams yang terpaksa pulang awal selepas kecundang pada pusingan pertama.

“Ia seolah-olah mimpi. Saya gementar hingga tamat permainan. Saya sangat bangga,” kata pemain Australia yang dilahirkan di Russia dan hanya menukar kerakyatannya bulan lalu. “Saya terlalu gembira.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 6:55 AM